Modul latihan dan toolkit pengurangan garam jadi rujukan industri makanan

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 2 November 2022 – Dua modul latihan dan toolkit pengurangan garam yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi rujukan pihak industri makanan.

Penyelidikan yang dilakukan oleh Pasukan Penyelidik Newton Fund Impact Scheme dan Resolve for Life telah diketuai oleh pasukan penyelidik dari Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, UKM dan rakan kolaborasi daripada Bahagian Penyakit Berjangkit Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Malaya, Sunway University, Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Selain itu penyelidik daripada Queen Mary University of London menjadi rakan penyelidik antarabangsa dalam penghasilan modul latihan dan toolkit pengurangan garam tersebut.

Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur UKM, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid berkata penghasilan modul latihan dan toolkit pengurangan garam itu adalah tepat dikala rakyat Malaysia berhadapan dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit darah tinggi dan diabetis.

“Berdasarkan data statistik penyakit tidak berjangki, penyakit kardiovaskular adalah penyebab kematian utama di Malaysia.

“Bukan hanya Malaysia sahaja yang mencatatkan jumlah NCD yang tinggi, tetapi sebanyak 71 peratus iaitu kira-kira 57 juta kematian di seluruh dunia adalah berpunca dari penyakit NCD,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Toolkit Reformulasi Sos Soya dan Modul Latihan Pengurangan Garam Dalam Kalangan Industri Makanan, Pengusaha Katering dan Vendor, di sini, semalam.

Beliau berkata sebagai sebuah universiti yang berstatus universiti penyelidikan, UKM  sentiasa menyokong penuh penyelidikan gegar gamat (translation research) yang memberi impak positif kepada masyarakat umum.

“Penghasilan modul pengurangan garam yang disasarkan kepada industri dan pengusaha makanan dan toolkit reformulasi sos soya atau kicap ini adalah seiring dengan visi dan misi UKM sebagai sebuah Universiti Watan yang sentiasa peka kepada perkembangan semasa dan menggalas amanah untuk memastikan kesejahteraan masyarakat di Malaysia,” katanya.

Ujar beliau, pelancaran modul latihan dan toolkit itu bukan sahaja menunjukkan kemampuan UKM sebagai pakar rujuk dalam penyelidikan bidang kesihatan, malah ia memberi gambaran kepada kecemerlangan universiti ini secara umumnya.

“Kecemerlangan ini adalah sejajar dengan pencapaian UKM sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang tersohor di Malaysia dan dunia.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam kajian ini dan saya berharap kajian ini akan merintis lebih banyak lagi kerjasama strategik di masa hadapan,” katanya. Modul latihan dan toolkit itu dilancarkan oleh Timbalan Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit, Bahagian Kawalan Penyakit, Jabatan Kesihatan Awam KKM, Dr. Feisul Idzwan Mustapha.

Leave a Reply