IBS Kurangkan Kebergantungan Terhadap Buruh Kasar, Lebih Mesra Alam

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 1 November 2022 – Projek pembinaan melalui kaedah sistem Bangunan Berindustri (IBS) dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga manusia serta menggalakkan pembinaan yang lestari, kata Profesor Dato’ Ir. Dr. Wan Hamidon Wan Badaruzzaman.

Berbanding dengan kaedah pembinaan konvensional, teknologi IBS berinovatif dapat mempercepatkan masa pembinaan, mengurangkan kos dan tidak terganggu oleh perbahan cuaca.

Beliau yang juga merupakan Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina berkata demikian pada majlis Syarahan Perdana Profesor yang bertajuk ‘Struktur Komposit Sistem Bangunan Berindustri Inovatif’.

Dalam syarahannya, beliau turut membincangkan struktur komposit berinovasi IBS baharu iaitu Sistem Kepingan Keluli Berprofil Papan Kering (PSSDB), serta penambahbaikan kepada struktur komposit jenis lain melibatkan Sistem Dinding Komposit Berprofil Dua Kulit (DPCW), Sistem Tiub Keluli Terisi Konkrit (CFST) dan Galang Plat Komposit.

Penyelidikan ini membawa bidang ilmu struktur komposit dan IBS maju ke hadapan serta menyumbang kepada sektor pembinaan dan memenuhi sasaran Matlamat Pembangunan Mampan UNESCO (SDG) 11: Bandar dan Komuniti Lestari.

Menurutnya, penyelidikan berinovatif IBS penting bagi menyokong dasar kerajaan Malaysia dalam melaksanakan kaedah Sistem Bangunan Berindustri.

“IBS merupakan satu penekanan oleh kerajaan dibawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Kementerian kewangan mengeluarkan pekeliling yang mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus komponen IBS dalam projek kerajaan dan akan diperluaskan kepada projek swasta.

“Melalui teknologi IBS, pelbagai jenis komponen binaan difabrikasi awal dalam persekitaran terkawal menggunakan mesin moden, seiring dengan perkembangan teknologi dan dipasang di tapak pembinaan,” katanya.

Beliau turut menegaskan tanggungjawab jurutera untuk mereka bangunan dengan mengambil berat faktor keselamatan bagi menjamin keselamatan penghuni bangunan. Majlis turut dihadiri oleh Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman, Naib Canselor; Prof. Dr. Mohammad Kassim, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa; Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi serta pengurusan tertinggi universiti.

Leave a Reply