Oleh Dr Nurwina Anuar
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 10 Januari 2025 – Muhammad Awliya Mohd Fauzi, pelajar dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) mencipta sejarah apabila merangkul empat anugerah di Majlis Anugerah Tokoh Siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2024 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).
Penganugerahan itu diberikan atas pencapaia cemerlang dan penglibatan beliau sepanjang pengajian di UKM.
Beliau yang merupakan Presiden Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) Sesi 2024/2025 telah memenangi Anugerah Kepimpinan Keusahawanan, Anugerah Program KMUKM Terbaik dan Anugerah Program Penjanaan Terbaik, sekaligus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa Watan UKM 2024.
Anugerah Tokoh Siswa Watan UKM yang berprestij ini membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan piala pusingan, mengiktiraf pencapaian cemerlang beliau dalam kepimpinan dan keusahawanan pelajar di peringkat universiti.
Muhammad Awliya ketika ditemui berkata anugerah itu bukan untuk dirinya semata-mata, tetapi untuk semua mahasiswa yang berani berimpian besar dan berusaha keras untuk mencapai matlamat mereka.
“Ia membuktikan bahawa dengan tekad dan sokongan yang kuat, kita mampu mencapai apa sahaja yang kita impikan,” katanya.
Beliau turut memberi pesanan kepada rakan-rakan mahasiswa supaya jangan pernah berhenti bermimpi dan berusaha.
“Kita semua mempunyai potensi untuk menjadi bintang yang bersinar dalam cara kita sendiri. Teruslah bekerja keras, kerana usaha tidak akan mengkhianati hasil,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Suzeren Md. Jamil berkata UKM akan terus komited dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki nilai kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran insaniah yang tinggi untuk menghadapi cabaran masa hadapan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman hadir merasmikan majlis dan menyampaikan anugerah kepada pemenang.
Majlis yang bertemakan “Kilauan Bintang” ini turut mengiktiraf pencapaian dalam kategori kepimpinan badan beruniform, persatuan, fakulti, kolej kediaman dan pelbagai bidang lain dengan penyampaian 47 anugerah dalam lapan kluster berbeza.
Antara pemenang utama lain termasuklah Mariam Masuan yang memenangi Anugerah Kepimpinan KMUKM dan Anugerah Penghargaan Khas Naib Canselor (Keseluruhan Individu), manakala Muhammad Iman Azhar menerima Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam dan Anugerah Kepimpinan Watan.
Selain itu, majlis itu juga turut menyaksikan Program ASTALOKA diangkat sebagai penerima Anugerah Program Watan Berimpak Terbaik dan Anugerah Program Kemanusiaan Terbaik atas sumbangannya dalam pembangunan komuniti.
Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2024 telah membuktikan bahawa mahasiswa Malaysia, khususnya di UKM, bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki bakat kepimpinan, kreativiti, dan semangat kesukarelawanan yang tinggi – kualiti-kualiti penting dalam membentuk pemimpin masa depan negara.
