SERI Jalin Kerjasama dengan Zenviro Solar Panel Recycling Bangunkan Prosedur Teknologi Kitar Semula Mesra Alam

Oleh Murni Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 Januari 2025 – Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) menandatangani satu perjanjian penyelidikan dengan Zenviro Solar Panel Recycling Sdn. Bhd. bagi membangunkan prosedur teknologi kitar semula menggunakan kaedah mesra alam.

Projek penyelidikan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Norasikin Ahmad Ludin ini turut menerima suntikan dana penyelidikan bernilai RM 99,000 daripada Zenviro Solar Panel Recycling Sdn. Bhd.

UKM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani manakala, Zenviro Solar Panel Recycling Sdn. Bhd. diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Encik Kuok Meng Khien.

Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal berkata perjanjian ini merupakan salah satu usaha mencipta jaringan yang kukuh antara universiti dan rakan industri bagi menghasilkan penyelidikan yang berimpak kepada universiti dan masyarakat.

“Perjanjian penyelidikan ini juga adalah untuk mengkaji kesan alam sekitar daripada teknologi kitar semula dan guna semula dalam tempoh hayat penggunaan panel suria, serta potensi ekonomi bahan intrinsik dan kos keseluruhan penggunaan bagi proses kitar semula.

“Melalui perkongsian ini, penyelidikan saintifik dan teknikal mengenai kaedah dan teknologi kitar semula dan pengubahsuaian modul panel suria boleh dijalankan diantara UKM dan rakan industri,” katanya.

Tambahnya, erjanjian penyelidikan ini juga merupakan peluang terbaik bagi UKM dan syarikat yang terlibat untuk menyumbang kepada Dasar Alam Sekitar Negara dan Dasar Tenaga Boleh Baharu Kebangsaan dalam usaha penambahbaikan berterusan kualiti alam sekitar.

“Inisiatif ini membolehkan kita dapat menggunakan kedua-dua kepakaran dalam industri dan akademik demi manafat bersama dalam penyelidikan yang dijalankan.

“Hasil usaha ini bukan sahaja untuk kita semua tetapi akan membuahkan hasil pada generasi akan datang,” katanya.

Zenviro Solar Panel Recycling Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat utama dalam industri kitar semula panel suria (Photovoltaic panel) di Malaysia.

Hasil dari proses kitar semula ini dapat mengurangkan impak sisa kimia dan pepejal terhadap masyarakat dan alam sekitar disamping dapat mengguna semula bahan-bahan utama dalam panel solar.

Leave a Reply