Naib Canselor Baharu Tekad Jadikan UKM Sebuah Universiti Bertunjangkan Identiti Nasional

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 Jun 2025 — Naib Canselor baharu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Sufian Jusoh komited dalam memacu universiti tersebut sebagai satu institusi yang berteraskan identiti nasional, menjadi pemangkin kepada perpaduan nasional serta diiktiraf oleh masyarakat global.

Dalam ucapannya di majlis serah terima tugas semalam, Prof. Dr. Sufian menegaskan bahawa hal ini selari dengan semangat perjuangan penubuhan UKM pada 1970, yang memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu.

“Saya ingin menyeru kepada semua warga UKM untuk bersama-sama mengorak langkah sebagai satu pasukan yang bersatu padu, dengan satu hasrat iaitu untuk menyumbang kepada UKM yang ditubuhkan dengan cita-cita dan impian rakyat Malaysia, dengan sumbangan dari pelbagai pelusuk masyarakat,” katanya.

Beliau turut berhasrat untuk membawa UKM kembali fokus kepada bidang ilmu sains dan teknologi seperti yang digariskan oleh Perintah (Perbadanan) UKM 1971.

“Perintah tersebut menyebut fokus UKM ialah kepada ilmu, penyelidikan, pengumpulan dan kemajuan pengetahuan dan penyebaran pengetahuan, dalam bidang sains dan teknologi seperti Sains Jati, Sains Gunaan, Sains Perubatan, Sains Farmasi, Sains Kejuruteraan, Teknologi serta Sains Kemasyarakatan, Bidang Kemanusiaan, Pendidikan, Undang-Undang Islam dan Teologi Perbandingan, Ilmu Akaun, Kewartawanan.

“Justeru, UKM akan diangkat sebagai sebuah Universiti penyelidikan tersohor di dunia, dengan fokus kepada rantau ASEAN, yang terdapat beberapa negara serumpun Nusantara, yang bahasanya bertunjangkan Bahasa Melayu,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Sufian UKM perlu menangani tiga cabaran utama iaitu iaitu kebolehpasaran graduan, kelestarian kewangan, dan peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan negara.

Beliau juga berharap agar UKM mempunyai sistem tatakelola yang mantap, berintegriti tinggi, terbuka dalam berkongsi pandangan setiap warga universiti.

Selain itu, Prof. Dr. Sufian turut menggariskan lima keutamaan bagi UKM.

“Pertama, UKM lebih inovatif dalam menerapkan pengajaran, penyelidikan serta inovasi dalam pelbagai disiplin, di mana sains merangkumi sains semula jadi, subjek teknikal dan sains sosial.

“Kedua, warga UKM bekerjasama rapat antara satu sama lain, melalui hubungan teknologi dan kepakaran yang lebih rapat.

“Ketiga, UKM berkolaborasi rapat dengan industri untuk menentukan keperluan pengajaran dan latihan serta membiayai penyelidikan. Kerjasama dengan industri bagi mengenal pasti keperluan industri, membangunkan bakat dan kemahiran perlu dieratkan.

“Lebih penting lagi, penyedia pendidikan dan latihan mesti menghasilkan bakat yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dalam industri dan teknologi, dan ini adalah satu bidang di mana industri mesti bekerjasama dengan sektor awam.

“Keempat, UKM melaksanakan Indikator Prestasi Utama yang fleksibel dan pelbagai yang memenuhi keperluan jabatan masing-masing, di mana pengumpulan dana dan bilangan pelajar tidak semestinya menjadi indikator utama.

“Kelima, UKM mengadakan institut penyelidikan rentas disiplin dalam sains dan teknologi serta sains sosial sebagai jalan ke depan dalam penyelidikan,” katanya.

Prof. Dr. Sufian telah dilantik sebagai Naib Canselor baharu UKM yang ke-14 berkuat kuasa 5 Jun lalu.

Hadir sama ke majlis itu adalah mantan-mantan Naib Canselor.

Leave a Reply