Naib Canselor Universiti Awam Bentang Resolusi Pendidikan Tinggi Bumiputera Kepada Menteri KPT

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

PUTRAJAYA, 26 Februari 2023 – Naib canselor universiti awam membentangkan Resolusi Pendidikan Tinggi Bumiputera kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. 

Pada sesi ini, resolusi bagi empat tema telah dipersetujui untuk dikemukakan iaitu, akses pendidikan tinggi kaum bumiputera; penyediaan bakat mahasiswa bumiputera semasa di universiti; kebolehpasaran graduan bumiputera; dan penubuhan pusat kajian pembangunan bumiputera. 

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata kerjasama dari semua pihak adalah penting dalam menggerakkan usaha bagi mengukuhkan tahap kebolehpasaran graduan bumiputera yang semakin mencabar.

“Pihak kementerian, agensi kerajaan dan universiti perlu berganding bahu dalam mewujudkan inisiatif dan sokongan dalam meningkatkan kobolehpasaran graduan bumiputera.

“Antara usaha yang perlu dilaksanakan, termasuklah biasiswa khas diteruskan kepada bumiputera, kerjasama antara agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (government link company), kursus keusahawanan diperluaskan di universiti, serta penawaran biasiswa kepada pelajar B40 bumiputera untuk mengikuti latihan industri di syarikat ternama,” katanya.

Tambahnya, pemerkasaan graduan bumiputera seiring dengan Malaysia Madani iaitu membentuk graduan dengan daya cipta tinggi, sahsiah dan integriti, semangat ihsan dan berupaya memajukan kerjaya sendiri.

Sesi tersebut turut membincangkan penubuhan Pusat Kajian Pembangunan Bumiputera bagi tujuan membangunkan pangkalan data bumiputera, menjalankan kajian, mewujudkan pelantar perbincangan, dan advokasi polisi bagi membangunkan masyarakat bumiputera.

Pusat ini akan dikelola oleh Universiti Teknologi MARA melalui Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) dan Universiti Kebangsaan Malaysia melalui Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA).

Resolusi ini dirancang untuk memastikan graduan bumiputera kompetitif dari segi akademik dan juga memiliki keterampilan dan pengalaman yang diperlukan untuk berjaya dalam kerjaya.

Dengan mengintegrasikan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri, pengalaman pembelajaran melalui program pembangunan kemahiran dan keusahawanan, serta jaringan profesional, graduan bumiputera akan lebih bersedia untuk memasuki pasaran kerja.

Pembentangan turut disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff; Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin dan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin.

Leave a Reply