Mahasiswa UKM-GSB Kumpul Dana RM160,000 Bantu Penduduk Felda Celik Al-Quran

Oleh Azalina (UKM-GSB)
Foto UKM-GSB

LAHAD DATU, 1 Mac 2024 – Sembila mahasiswa Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berjaya mengumpul dana sebanyak RM160,000 bagi membantu penduduk di FELDA Gugusan Sahabat, dekat sini celik Al-Quran.

Pengarah Projek kumpulan Kami Satu tersebut, Saifullah Mat Nor@Ahmad Nor berkarta, dana yang terkumpul itu adalah hasil sumbangan daripada beberapa agensi termasuk FELDA, Felda Plantation Management Sdn. Bhd. dan Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. Sebagai penaja utama dan barisan penaja lain seperti FGV Holdings Bhd., Ranhill Worley Sdn. Bhd., Yayasan FELDA, Koperasi Kakitangan FELDA Malaysia Bhd., Hanis Agroscience, Diversatech Fertilizer, ICP Agro Solution, SG Bathe, Eng Huat Latex Concetrate Sdn. Bhd. termasuk beberapa sumbangan individu.

“Dana sebanyak RM160,000 ini adalah tidak termasuk  sumbangan dalam bentuk in-kind. Melalui sumbangan ini, menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pelaksanaan Kem Celik Al-Quran (Kem CQ) dan Kursus Latihan Tenaga Pengajar (LTP) menggunakan Kaedah ABAHATA bersama warga FELDA Gugusan Sahabat.

“Program yang diadakan selama lima hari mulai 19 hingga 23 Februari 2024 melibatkan kerjasama antara UKM-GSB dengan Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ), Pejabat Mufti Negeri Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan WAQAF FELDA,” katanya.

Beliau berkata inisiatif CSR itu berjaya menyediakan satu platform pembelajaran Al-Quran yang sistematik dan berkesan melalui kaedah ABAHATA. 

“Penganjuran program ini telah berjaya membantu 50 kanak-kanak yang kurang mahir membaca Al-Quran supaya mengenal huruf dan mampu membaca suku kata Al-Quran dengan betul.

“Program CSR ini juga telah berjaya mentauliahkan sebanyak 30 guru Al-Quran untuk mereka menyumbang bakti mengembangkan pendidikan Al-Quran menggunakan kaedah ABAHATA kepada penduduk setempat,” katanya.

Menurut beliau, program CSR tersebut mencipta sejarah apabila ia akan diperluaskan ke tanah rancangan FELDA di seluruh negara dengan sokongan dan kerjasama daripada WAQAF FELDA.

“Sejajar dengan peranan FELDA, agensi ini mengambil inisiatif menganjurkan Majlis Penutup serta Malam Sahabat Berselawat dan Bicara Ilmu, baru-baru ini yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Komuniti dan Generasi FELDA, Mohd Helmi Fakhzan Abd Wahab yang mewakili Pengerusi FELDA, Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Hadir sama, Timbalan Dekan UKM-GSB (Graduate School of Business), Prof Ts. Dr. Mohd Helmi bin Ali yang mewakili Dekan UKM-GSB dan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, YBhg. SS Datuk Ustaz Haji Bungsu@Aziz Jaafar.

Majlis tersebut turut menerima kehadiran lebih 2,000 orang yang terdiri daripada warga FELDA Gugusan Sahabat, penduduk Lahad Datu dan masyarakat setempat. Majlis penutup tersebut telah diimarahkan lagi dengan program Sahabat Berselawat yang dipimpin oleh Imam Muda Nazrul yang dibawakan khas oleh WAQAF FELDA dan juga Kumpulan As-Salam Buskers bersama Zul Handyblack dan Mel Wings. Program Bicara Ilmu yang bertajuk Al-Quran & Ramadhan (Anugerah Buat Ummah) pula menampilkan Ustaz Haji Bungsu@Aziz Haji Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah; Prof Madya Dato’ Hj. Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd. Kashim, Timbalan Dekan Industri & Alumni, Fakulti Pengajian Islam, UKM dan Pendakwah & Penceramah Bebas, Ustaz Haslin Baharim atau dikenali Ustaz Haslin Bollywood sebagai panel forum.

Leave a Reply