Doktor Perubatan UKM Pamer Hasil Lukisan di Kota London

Oleh Asmahanim Amir
Foto Dr Fitri Fareez Ramli

BANGI, 5 September 2023 – Pensyarah Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Doktor Falsafah di University of Oxford, United Kingdom melakar sejarah apabila diberi peluang mempamerkan sembilan buah lukisan hasil karyanya sendiri di majlis Salam Dari Malaysia yang diadakan di London, United Kingdom.

Dr Fitri Fareez Ramli yang merupakan pelajar tajaan Yayasan Khazanah mempamerkan koleksi lukisan absktrak dari Koleksi Suratan yang membawa maksud takdir atau tulisan.

Majlis Salam Dari Malaysia merupakan program TalentCorp Malaysia (agensi kerajaan di bawah Kementerian Sumber Manusia) dengan kerjasama Malaysian Association of Professional and Postgraduate (MAPP) United Kingdom and British Malaysian Society (BMS), dan dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia di London, TYT Dato’ Zakri Jaafar.

Dr Fitri Fareez  berkata minat beliau terhadap lukisan bermula sejak di bangku sekolah lagi.

“Lukisan yang masih segar dalam ingatan saya adalah lukisan pemandangan pantai, di mana saya menggunakan pensel untuk melukis.

“Walau bagaimanapun, saya mula serius melukis sewaktu bekerja sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan pada tahun 2016. Ketika itu, saya banyak berekperimentasi dengan pelbagai bahan termasuk watercolour, acrylics, dan pensel warna.

“Penggunaan acrylics akhirnya menjadi bahan utama dalam karya-karya yang saya hasilnya termasuk karya-karya yang dihasilkan di sini (Oxford),” katanya.

Beliau yang sedang menjalankan kajian PhD berkenaan penggunaan ubat ebselen dan lithium bagi penyakit kemurungan itu berkata, minat dalam bidang lukisan secara tidak langsung berkait rapat dengan pengalamannya dalam bidang kesihatan mental yang dapat dijadikan landasan bagi ekspresi dan komunikasi.

Menceritakan tentang bakat melukisnya, Dr Fitri Fareez berkata beliau berhenti melukis pada tahun 2017 kerana kesibukan tugas harian.

“Tetapi saya kembali melukis semula  ketika saya memulakan pengajian di University of Oxford pada tahun 2021.

“Melukis merupakan satu hobi dan saya biasanya menggunakan masa senggang yang ada. Pengalaman sebagai doktor dan pensyarah mengajar saya untuk membahagikan waktu secara efisien,” ujarnya.

Walau bagaimanapun katanya, beliau tidak melukis sepanjang waktu, sebaliknya mengambil masa beberapa minggu untuk menyiapkan satu koleksi yang mengandungi sembilan hingga 12 lukisan untuk dipamerkan kepada umum.

Bagi membudayakan bahasa Nusantara di bumi Inggeris, beliau menggunakan Bahasa Melayu sebagai judul bagi setiap lukisan.

“Tajuk-tajuk lukisan dalam Koleksi Suratan yang saya hasilkan termasuklah Akar, Awan, Bulatan, Dunia, Hijau, Padang Rumput, Petala, Seri dan Terjalin.

“Pelbagai mesej juga diterapkan dalam lukisan yang disediakan seperti kesihatan mental, identiti diri dan perubahan iklim,” ujar beliau.

Dr Fitri Fareez yang berada di United Kingdom sejak Oktober 2021 itu berhasrat untuk meneruskan minat melukisnya apabila pulang ke Malaysia nanti. “Seiring dengan bidang akademik saya yang ceburi (berkaitan kesihatan mental), saya ingin menjadikan seni sebagai satu landasan bagi membantu meningkatkan kesihatan mental,” tambah beliau.

Leave a Reply