Lawatan Penanda Aras Ke UTM Dan NUS Tingkatkan Perkhidmatan Makmal Universiti

Oleh Fakulti Sains dan Teknologi

Lawatan penanda aras oleh delegasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan National University of Singapore (NUS) adalah usaha untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang pengurusan keselamatan makmal dan instrumentasi yang lebih efisien dan inovatif.

Lawatan ini adalah langkah berterusan bagi memastikan pengurusan keselamatan makmal dan instrumentasi di kedua-dua universiti ini berada pada tahap terbaik.

Program yang dianjurkan oleh Unit Fizik, Sekretariat Makmal dan Instrumentasi Fakulti Sains dan Teknologi (FST) ini telah dibawa ke Pusat Pengurusan Makmal Universiti UTM (PPMU). Semasa di PPMU, delegasi UKM telah diberi penerangan mengenai amalan baik yang telah dijalankan oleh pihak PPMU seperti perolehan bahan kimia dan tong gas secara berpusat.

Ketua Program, Idris Zulkifle berkata amalan ini dilihat satu usaha yang baik untuk diamalkan bagi mengelakkan pembaziran bahan kimia serta mengurangkan kos bagi pelupusan bahan kimia tersebut.

“Selain daripada itu, pengurusan penyelenggaraan bagi peralatan penyelidikan juga dilihat lebih teratur apabila penyelenggaraan perlu melalui pemeriksaan dan penentusahan oleh jurutera di PPMU sebelum perolehan dibuat.

“Apa yang menarik, PPMU juga menguruskan sumber manusia bagi skim perkhidmatan sains C di seluruh universiti bagi memastikan pengurusan skim perkhidmatan sains ini berjalan dengan lancar,” jelasnya.

Lawatan penanda aras ini diteruskan ke universiti yang terletak antara 10 universiti terbaik dunia iaitu NUS.

Menurut Idris Zulkifle, semasa dalam penerangan mengenai fungsi dan amalan baik di pejabat pengurusan risiko Universiti, pihak NUS menyediakan program khas bagi semua pelajar, pensyarah dan staf yang baru melapor diri mengenai keselamatan di tempat kerja.

“Semua nota dan penerangan dipaparkan di dalam laman sesawang dan perlu lulus ujian yang telah disediakan sebelum memulakan tugas.

“Pihak universiti juga mengawal pembelian bahan kimia dan makmal dengan mewujudkan integrasi sistem pengesahan dan data inventori sebelum perolehan dijalankan.

“Pengurusan pelupusan bahan kimia juga sangat efektif kerana pelupusan dijalankan dua kali seminggu dan sisa dikumpulkan secara berpusat di bangunan yang berlainan,” katanya.

Delegasi UKM yang diketuai oleh Dekan FST, Prof Chm Dr Ishak Ahmad juga di bawa ke Fakulti Sains NUS.

Prof Chm Dr Ishak berkata mereka diberi penerangan mengenai perkhidmatan instrumentasi yang ditawarkan kepada pelajar dan penyelidik.

“Delegasi berasa teruja apabila makmal perkhidmatan instrumentasi ini dibuka secara 24 jam untuk pengoperasian mengikut tahap kemahiran pengguna.

“Peralatan penyelidikan juga dipusatkan mengikut kluster bagi memudahkan pengurusan. Pihak NUS juga berbesar hati untuk menerima program sangkutan bagi staf mahupun pelajar bagi meningkatkan kebolehpasaran pelajar mahupun peningkatan kemahiran staf.

“Lawatan ini memberikan manfaat dalam meningkatkan motivasi staf disamping membuka pintu kerjasama yang lebih erat pada masa akan datang,” ujarnya. Beliau berharap agar kerjasama antara dua universiti penyelidikan ini akan menyemarakkan lagi semangat kerjasama dan saling melengkapi dalam memberikan sumbangan yang signifikan dalam pembangunan sains dan teknologi.

Leave a Reply