Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 29 Septemnber 2025 – Pasangan kembar seiras, Mirrah Damia Mohd Ali dan Mirrah Fahima Mohd Ali, masing-masing berumur 21 tahun mengejar cita-cita untuk menjadi guru Bahasa Inggeris suatu hari nanti.
Mirrah Damia yang merupakan kakak berkata dia dan adiknya tidak pernah berpisah sejak dilahirkan.
“Kami sentiasa akan bersama-sama, sama ada bersekolah, mengulangkaji pelajaran, dan mengikuti aktiviti, sehinggakan keputusan peperiksaan kami juga sama, termsuklah keputusan SPM dan diploma” kata Mirrah Damia.
Katanya dia dan adiknya berbincang bersama untuk membuat pilihan melanjutkan pengajian ke peringkat izajah sarjana muda.
”Pada mulanya kami tidak menjadikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pilihan pertama kerana tahu kedudukan universiti ini yang sangat bagus.
“Kami sedar bukan mudah untuk diterima menjadi salah seorang pelajar di universiti kedua terbaik di Malaysia ini.
“Tapi, selepas berbincang dengan ahli keluarga, mereka sangat menyokong untuk kami memilih UKM sebagai pilihan pertama,” katanya semasa mendaftar di UKM baru-baru ini.
Adik kembarnya, Mirrah Fahima pula berkata selepas berbincang, mereka telah menukar pilihan dengan menjadi program Pengajian Pendidikan (TESL) di UKM sebagai pilihan pertama.
“Kami tidak sangka pilihan kami itu diterima dan kami sama-sama menjalani temuduga UKM di bilik yang sama,” katanya yang memaklumkan dia dan kakaknya merupakan graduan Diploma TESL dari Kolej Poli-Tech Mara, Kota Bharu.
Anak kepada pasangan guru, Mohd Ali Jusoh dan Marina Abd Ghani itu berharap dia dan kakak kembarnya dapat belajar dengan gembira dan dapat mengekalkan prestasi baik sepanjang pengajian di UKM.
“Saingan untuk masuk UKM sangat sengit. Jadi, kami tidak akan mensia-siakan peluang yang telah kami dapat ini untuk belajar bersunguuh-sungguh dan mencipta nama di universiti ini,” katanya.
Mirrah Damia dan Mirrah Fahima merupakan antara tujuh pasangan kembar dari lebih 4,000 pelajar baharu mendaftar di UKM bagi sesi akademik 2025/2026.

