Oleh Muhammad Hazriq Hamqa Shaharudin
Foto Fakulti Udang-Undang
RAUB, 3 Januari 2026 – Pelajar tahun tiga Fakulti Undang-Undang (FUU), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkasa komuniti Orang Asli melalui pendidikan dan khidmat masyarakat melalui penganjuran Program Merentas Tradisi Perundangan dan Komuniti Bersatu.
Program selama dua hari satu malam ini dilaksanakan di Kampung Rancangan Petempatan Semula (RPS) Sungai Bilut, Raub, Pahang sebahagian daripada kursus Undang-undang Antarabangsa dan Orang Asal.
Dekan FUU, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid berkata program ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran praktikal kepada pelajar, malah merapatkan hubungan fakulti dengan komuniti setempat.
“Ia juga turut memperkukuh kesedaran undang-undang, mengukuhkan nilai kebersamaan, dan memelihara tradisi komuniti setempat.
“Sepanjang program, pelajar dan penduduk kampung terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti, antaranya Melukis dan Mewarna, Law Treasure Hunt, Malam Kebudayaan, Anyaman Mende Kepala, dan Mock Trial.
“Aktiviti ini bertujuan memperkukuh pemahaman undang-undang, membina kemahiran bekerja dalam kumpulan, dan menghargai tradisi serta budaya tempatan.
“Secara keseluruhan, program ini berjaya memberi impak positif kepada penduduk RPS Sungai Bilut serta menyediakan pengalaman pembelajaran bermakna kepada pelajar Fakulti Undang-Undang UKM, sekaligus mengukuhkan semangat kerjasama antara universiti dan komuniti,” katanya.
Sementara itu, Tok Batin Tuan En. Tanjung Cham menyatakan rasa terharu dengan penglibatan pelajar dan fakulti dalam aktiviti bersama penduduk kampung, termasuk sesi penyerahan alat tulis dan bantuan makanan kering.
Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Komuniti dan Kemahiran KEMAS Parlimen Raub merangkap Ahli Majlis Daerah Raub, Tuan Khairul Azhar bin Abdul Manaf.

