Pelajar FPI Kongsi Adat dan Budaya Melayu dengan Pelajar di Selatan Thailand

Oleh Intan Meisarah Sawal
Foto oleh Mohamad Fitri Fadhilah Mohamad

SATUN (Thailand), 6 Januari 2026 – Seramai 36 pelajar bersama tiga orang pensyarah dari Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengadakan program Sejambak Ukhuwah, Serantau Dakwah di Nida’Suksasat School Langu Satun, Thailand, baru-baru ini.

Program yang melibatkan 200 pelajar sekolah terbabit diadakan bagi memperkukuh hubungan pendidikan dalam dakwah rentas budaya, di samping memperkenalkan semula keindahan kepelbagaian bahasa serta adat Melayu dalam kalangan generasi muda.

Melalui pendekatan interaktif dan bersifat mendidik, para peserta didedahkan dengan kepentingan penguasaan ilmu, pembinaan jati diri yang positif serta kefahaman terhadap kepelbagaian budaya serantau sebagai asas kepada keharmonian masyarakat.

Selain itu, program itu juga turut memfokuskan adat Melayu sebagai warisan yang perlu diketahui kepada para pelajar, seperti yang diminta oleh pihak sekolah.

Bagi merealisasikan hasrat pihak sekolah yang menginginkan pelajar mendapat pendedahan berkenaan adat Melayu

Jadi, kebanyakan aktiviti yang dijalankan dirangka bagi menggalakkan penguasaan bahasa Melayu melalui komunikasi dua hala.

Wakil pelajar UKM, Hanis Naqeebah berkata dia gembira kerana ini merupakan kali pertama dia menjadi pengacara majlis program mobiliti antarabangsa.

“Sebagaipengacara majlis, saya dapat belajar bagaimana untuk berinteraksi dengan mereka yang sangat kurang pengetahuan Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris.

“Pengalaman ini merupakan sebuah pengalaman yang sangat bernilai kerana program ini telah mengajar saya untuk berfikiran kritis dalam mencari jalan untuk berinteraksi bersama mereka dengan penuh kesabaran,” katanya.

Sebagai simbol penghayatan budaya, semua fasilitator tampil mengenakan pakaian tradisional Melayu, yang bukan sahaja mencerminkan identiti budaya, malah menjadi medium pendidikan tidak formal kepada para peserta.

Selain itu, program ini turut dimeriahkan dengan slot pameran budaya seperti pakaian tradisional, makanan Melayu, adat perkahwinan, negeri-negeri Melayu, alat muzik dan tarian tradisional, serta permainan tradisional Melayu.

Sementara itu, Timbalan Pengetua Nida’Suksasat School Langu, Chamsuddin Darehmin berkata program tersebut bukan sahaja menjadi platform pertukaran budaya, malah dapat memperkenalkan keindahan dan keunikan bangsa Melayu kepada para pelajar.

“Saya melihat program ini telah berjaya memberi impak positif kepada pelajar-pelajar disini. Mereka semua sangat seronok belajar tentang adat serta budaya Melayu yang telah dibawa.

“Saya berharap agar hubungan ukhuwah ini tidak akan berakhir disini dan akan lebih banyak program seperti ini dijalankan pada tahun yang akan datang,” katanya.

Leave a Reply