Pelajar Program Sains Pertuturan Terima Biasiswa Bersyarat dari Hatching Group PJ Sdn. Bhd

Berita dan foto oleh Fakulti Sains Kesihatan

KUALA LUMPUR, 18 September 2023 – Seorang pelajar dari program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertuturan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (FSK UKM) telah ditawarkan biasiswa bersyarat (bursari) bernilai RM10,000 daripada syarikat Hatching Group PJ Sdn Bhd.

Saudari Lee Hong Enn menerima biasiswa tersebut sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan potensi cemerlang beliau sepanjang menjadi pelajar di FSK.

Lee Hong Enn berkata pemberian bursari itu telah memberi semangat yang besar kepadanya untuk memulakan kerjaya sebagai terapis pertuturan-bahasa.

“Tawaran pekerjaan di Hatching Group PJ Sdn Bhd juga memberi peluang berharga kepada saya untuk memperoleh pengalaman profesional dalam bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Sains Pertuturan, Dr. Chu Shin Ying berkata Lee Hong Enn telah menunjukkan potensi yang baik dan membolehkan dia menerima bursari ini.

“Ini juga menjadi contoh yang berharga bagi pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha dengan cemerlang,” katanya.

Bursari yang diberikan ini menunjukkan komitmen pihak UKM dan Hatching Group PJ Sdn Bhd dalam memupuk bakat tempatan serta menyediakan peluang kerjaya yang berharga kepada para graduan.
Selain itu, syarikat Hatching Group PJ Sdn Bhd turut menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan UKM, melibatkan Program Sains Pertuturan dan Program Terapi Carakerja untuk pemberian bursari berjumlah RM40,000.

MoA yang ditandatangani untuk tempoh dua tahun ini dibuat bagi menyalurkan bursari kepada empat orang pelajar iaitu dua orang dari Program Sains Pertuturan dan dua orang pelajar lagi dari Program Terapi Carakerja.

Leave a Reply