BANGKOK, 10 Disember 2025 – Seorang pelajar Sarjana dari Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Abdul Hafiz Zulhaimi telah terpilih menerima penajaan penuh daripada Mahidol University, Thailand bagi mengikuti kerja lapangan bersama para penyelidik universiti tersebut di kawasan endemik malaria bagi mempelajari dengan lebih mendalam teknik-teknik lapangan dalam entomologi.
Program ini dianjurkan oleh Mahidol Vivax Research Unit (MVRU), Faculty of Tropical Medicine, Mahidol University, dan merangkumi gabungan aktiviti lapangan intensif di kawasan pedalaman.
Menurut Abdul Hafiz, peluang ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran penyelidikannya, tetapi ia juga turut membuka ruang pendedahan dan peluang jaringan profesional yang luas, memandangkan pasukan penyelidikan program ini turut dianggotai oleh penyelidik dari Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.
“Program ini bukan sekadar memberikan pendedahan akademik, malah membuka peluang kepada saya untuk memahami realiti sebenar kerja lapangan di kawasan pencil serta membina jaringan dan kerjasama antarabangsa yang bermakna.
“Saya berharap pengalaman berharga ini dapat menjadi pemangkin kepada pengukuhan dan pembangunan penyelidikan Sarjana saya, khususnya dalam bidang vektor malaria zoonotik,” kata Abdul Hafiz.
Menurutnya, program lawatan lapangan di jalankan di beberapa lokasi kajian sekitar sub-daerah Mae Sot, Tha Song Yang, dan Wilayah Tak di Thailand.
“Sepanjang lawatan lapangan, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti termasuk lawatan ke lokasi kajian bagi tangkapan nyamuk menggunakan kaedah Human Landing Catch (HLC) dan perangkap cahaya CDC, penglibatan dalam kerja-kerja makmal, serta pelaksanaan tinjauan larva nyamuk.
“Pengalaman ini memberikan pendedahan secara langsung terhadap teknik lapangan dalam kajian vektor malaria, di samping meningkatkan kefahaman tentang kaedah menangani cabaran teknikal dan logistik dalam pelaksanaan penyelidikan di kawasan terpencil,” kata Abdul Hafiz.
Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam selaku penyelia utama menyifatkan kejayaan Abdul Hafiz sebagai pencapaian yang signifikan dalam memperkukuh jaringan kolaborasi antarabangsa anatara UKM dan Mahidol University, Thailand.
“Kolaborasi ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan akademik antara kedua-dua institusi, malah membuka ruang kepada pembangunan penyelidikan bersama yang lebih mampan dalam bidang malaria zoonotik dan entomologi perubatan.
“Kejayaan ini selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan dan SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat, sekaligus memperkukuh komitmen UKM dalam memajukan penyelidikan kesihatan dan pendidikan tinggi melalui kerjasama global,” jelasnya.
Selain menyertai kerja lapangan ini, Dr. Nantha dan Abdul Hafiz turut hadir ke persidangan Joint International Tropical Medicine Meeting (JITMM 2025) yang telah berlangsung di Bangkok.
Bertemakan “Building Bridges for Sustainable Health in a Dividing World”, persidangan ini menekankan keperluan kerjasama global yang bersepadu dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti rentan melalui penyelidikan berimpak tinggi, inovasi berteraskan sains, serta pembangunan dasar kesihatan yang mampan.
Dr. Nantha Kumar Jeyaprakasam juga berpeluang membentangkan hasil kajian beliau dalam vektor malaria zoonotic yang bertajuk “Plasmodium cynomolgi and Plasmodium Inui: Emerging Challenges in the Fight against Zoonotic Malaria” pada persidangan JITMM 2025.

