Oleh Ahmad Bukhari A Latib
KUALA LUMPUR – Pakar dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan malaysia (UKM) memperkenalkan teknologi Vagus Nerve Stimulation (VNS) melalui penggunaan teknologi dari syarikat PINS sebagai satu kaedah rawatan epilepsi di Malaysia bagi pesakit yang tidak lagi responsif terhadap ubat-ubatan.
PINS–VNS merupakan rawatan neuromodulasi yang menghantar rangsangan elektrik secara terkawal ke saraf vagus di leher bagi menstabilkan aktiviti otak dan mengurangkan sawan.
Prosedur pembedahan melibatkan pemasangan peranti kecil di bahagian dada serta elektrod pada saraf vagus melalui kaedah yang kurang invasif.
Demonstrasi klinikal serta prosedur pemasangan sistem ini diterajui oleh Pakar Bedah Saraf, Prof. Madya Dato’ Dr. Jegan Thanabalan dan diselaraskan oleh Pakar Neurologi, Prof. Madya Dr. Khoo Ching Soong yang mengetuai program pendedahan teknologi ini.
Menurut Dr Jegan, Malaysia telah memulakan pembedahan VNS sejak tahun 2000, namun penggunaannya meningkat selepas 2019 berikutan pertambahan pesakit epilepsi yang tidak menunjukkan respon terhadap rawatan standard.
Beliau menjelaskan bahawa PINS-VNS merupakan sistem baharu yang dibangunkan di China tetapi menggunakan prinsip yang sama seperti VNS tradisional, iaitu menghantar rangsangan elektrik teratur ke vagus nerve untuk menstabilkan aktiviti otak dan mengurangkan sawan.
“Sistem PINS menawarkan reka bentuk moden, kestabilan rangsangan yang baik dan kos lebih berpatutan, menjadikannya alternatif yang berpotensi diperluas di seluruh negara.
“Kejayaan rawatan ini bukan sahaja diukur melalui pengurangan sawan yang boleh mencecah 50 hingga 70 peratus tetapi juga memberi kesan positif kepada mood, tidur, kemurungan dan kebimbangan pesakit.
“Prosedur pemasangannya pula adalah selamat dengan komplikasi kurang daripada dua peratus, hanya mengambil masa dua hingga tiga jam dengan risiko komplikasi serendah 1 hingga 2 peratus.
“Pesakit lazimnya boleh pulang dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas pembedahan,” kata Dr Jegan.
Kejayaan program ini turut membuka laluan kepada kerjasama masa hadapan antara UKM dan syarikat teknologi perubatan PINS dari Beijing, termasuk peluang latihan lanjutan dalam neuromodulasi untuk pakar tempatan serta pembangunan kepakaran dalam bidang seperti VNS dan Deep Brain Stimulation (DBS).
Hal ini dijangka menyokong aspirasi negara untuk memperluas akses rawatan epilepsi yang lebih efektif dan selamat, jelas Dr. Jegan.
“Bagi pesakit epilepsi dan keluarga mereka, PINS-VNS menandakan harapan baharu. Ramai pesakit yang terpaksa mengambil pelbagai ubat tanpa perubahan ketara kini berpeluang menikmati kehidupan yang lebih stabil.
“Data tempatan menunjukkan bahawa lebih 63 peratus pesakit yang menerima rawatan VNS selama setahun mengalami sekurang-kurangnya 50 peratus pengurangan sawan, dan keberkesanan ini meningkat dengan penggunaan jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Khoo Ching Soong, selaku penganjur utama sesi demonstrasi PINS-VNS, berkata objektif program ini ialah untuk memberi pendedahan menyeluruh kepada doktor pakar, pegawai perubatan, ahli akademik serta staf kejururawatan mengenai potensi teknologi neuromodulasi dalam rawatan epilepsi.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun HCTM mempunyai pengalaman dalam VNS, ini merupakan kali pertama sistem PINS digunakan di hospital tersebut.
“Dengan pasukan epilepsi komprehensif yang ditubuhkan sejak 1996, UKM berada pada kedudukan terbaik untuk menerajui pengembangan teknologi ini di Malaysia,” katanya.
Prosedur ini turut disokong oleh pasukan multidisiplin Fakulti Perubatan dan HCTM yang berpengalaman, termasuk Dr. Soon Bee Hong, Dr. Mohamad Azim Md Idris, Prof. Madya Dr. Farizal Fadzil, Dr. Anis Nabillah Mohd Azli serta pegawai perubatan dan pasukan kejururawatan dewan bedah yang memastikan kelancaran prosedur dari awal hingga akhir.

