Oleh Melor Suria Minhat
Foto Izwan Azman
PUTRAJAYA, 15 Oktober 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkenalkan tiga inovasi rintis penuaan sihat sempena Sambutan Hari Warga Emas 2026 yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Tiga inovasi berkenaan ialah iAGELESS 1.0 yang menyokong fungsi kognitif warga emas, WR² yang menggabungkan latihan senaman dan rangsangan kognitif, serta TP3 in 1, formulasi buah-buahan tropika kaya polifenol bagi membantu mengurangkan tekanan oksidatif.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham berkata ketiga-tiga inovasi itu memperlihatkan kekuatan penyelidikan UKM dalam menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan masyarakat dan peluang kerjasama industri.
“Bagi UKM, kerjasama seperti ini amat penting untuk memperkukuh ekosistem penyelidikan, menyokong pemindahan ilmu dan memperluas capaian hasil penyelidikan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata pada masa yang sama, setiap inovasi perlu terus dibangunkan dan dimanfaatkan secara bertanggungjawab, berasaskan bukti serta mengutamakan kesejahteraan pengguna.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh ketika menyampaikan ucapan perasmian menekankan kepentingan penjagaan warga emas secara berterusan, termasuk menangani isu kesunyian dan kesihatan mental.
“Bagi saya, Hari Warga Emas bukan sekadar hari untuk kita mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan generasi terdahulu, tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita menjaga mereka selepas sambutan ini selesai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa program untuk warga emas perlu disesuaikan dengan keupayaan fizikal dan keperluan sosial mereka serta memerlukan kerjasama pelbagai pihak.
Majlis turut menyaksikan simbolik penyerahan cek berjumlah RM55,000 daripada rakan industri, iaitu RM35,000 daripada Premier Integrated Rehab Sdn. Bhd. bagi iAGELESS 1.0 dan WR², serta RM20,000 daripada SR Neotech Sdn. Bhd. bagi TP3 in 1.
Selain itu, Anugerah Seri Emas Sejahtera Putrajaya 2026 disampaikan oleh Perbadanan Putrajaya sebagai pengiktirafan kepada warga emas atas sumbangan mereka kepada komuniti.
Majlis Sambutan Hari Warga Emas 2026 yang bertemakan “Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni” itu adalah anjuran bersama antara Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan, dengan Perbadanan Putrajaya dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE).

