Pembedahan Mikro Kurang Invasif Rawat Glaukoma

Oleh Salleh Sulieman
Foto Fakulti Perubatan

Kaedah pembedahan mikro kurang invasif atau ‘minimally invasive glaucoma surgery’ (MIGS) kini digunakan dalam perawatan pesakit glaukoma tahap awal sehingga sederhana.

Pensyarah dan Pakar Perunding Kanan dari Jabatan Oftalmologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Jemaima Che Hamzah berkata, kaedah MIGS mempunyai profil keselamatan yang tinggi berbanding kaedah sedia ada.

“Hirisan luka yang kecil hanya menyebabkan sedikit trauma kepada anatomi dan fisiologi mata. Pemulihan menjadi lebih pantas selepas pembedahan dengan keperluan lawatan susulan yang minimum,” katanya.

Menurutnya lagi, kaedah ini menjadi pilihan yang baik jika pesakit glaukoma ingin berhenti mengambil satu sehingga dua ubat titis mata.

“Rawatan ini melibatkan pengunaan implan yang kecil atau alatan yang khas. Namun, teknik ini juga tidak sesuai untuk pesakit glaukoma tahap teruk atau lanjutan kerana memerlukan tekanan mata yang lebih rendah.

“Pembedahan ini bertindak di sudut hadapan mata seterusnya mengurangkan tekanan mata dan melambatkan perkembangan penyakit glaukoma. Kebanyakan pembedahan ini ditawarkan di kebanyakan hospital di Malaysia,” katanya.

Glaukoma adalah antara penyebab utama kebutaan kekal. Dijangka terdapat lebih kurang 64 juta orang yang mengalami kurang penglihatan dan kebutaan disebabkan glaukoma di seluruh dunia dan angka ini akan meningkat ke 111.8 juta pada 2040.

RAWATAN

Beliau turut mengulas kebanyakan pengidap penyakit glaukoma lambat datang ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana tidak menyedari mereka menghidapi penyakit ini.

“Penyakit glaukoma tiada simptom pada awalnya tetapi beransur-ansur mempengaruhi penglihatan apabila kerosakan saraf optik dalam peringkat teruk. Pada ketika ini pengidap glaukoma mempunyai penglihatan terowong (tunnel vision) dan penglihatan tengah mula merosot.”

Bagi mengatasi masalah ini, rawatan barisan pertama adalah ubat-ubatan terutamanya ubat titis mata anti-glaukoma,” jelasnya.

“Mengambil ubat titis mata untuk merawat glaukoma bukanlah mudah bagi ramai pesakit terutama yang berumur kerana memerlukan komplian yang tinggi dari pesakit.

“Jika pesakit mempunyai sakit sendi di tangan atau tangan menggeletar, meletakkan ubat ke dalam mata bukannya mudah kerana memerlukan kordinasi tangan dan mata yang baik.

“Pesakit juga mungkin mempunyai penyakit lain seperti sakit jantung, darah tinggi atau kencing manis menyebabkan komplian kepada ubat titis mata tidak bagus disebabkan pesakit lebih tertumpu untuk rawatan penyakit-penyakit lain yang boleh mengancam nyawa.

“Pesakit juga mungkin tidak toleran pada kesan samping ubat titis mata seperti gatal pada mata,” katanya.

Bagi pesakit yang menjalani rawatan laser, pesakit perlu menunggu beberapa minggu untuk mengetahui keberkesanannya.

“Rawatan laser tidak berkesan untuk semua orang. Pesakit masih perlu menggunakan ubat titis mata selepas laser dilakukan.”

Begitu juga dengan pembedahan glaukoma yang standard seperti trabekulektomi dan implantasi implant glaukoma sering dilakukan untuk mendapatkan tekanan lebih rendah selepas rawatan ubat titis dan laser dilakukan.

“Tetapi kaedah rawatan ini mempunyai risiko komplikasi awal dan lewat yang tinggi, perlu lawatan susulan yang kerap dan masa pemulihan yang lama.”

Sambutan Minggu Glaukoma Sedunia dibuat pada 10-16 Mac 2024 sebagai inisiatif global yang dianjurkan oleh Persatuan Glaukoma Dunia (World Glaukoma Association). Sambutan ini dianjurkan oleh Persatuan Glaukoma Malaysia (Malaysian Glaucoma Society).

Leave a Reply