Pendidikan Perlu dilihat dalam Konteks yang Lebih Luas – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi

Oleh Melor Suria Minhat
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

BANGI, 22 Jun 2026 – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim menyeru mahasiswa agar melihat konteks Pendidikan dengan lebih meluas dan tidak terhad kepada memenuhi keperluan pasaran pekerjaan semata-mata.

Beliau berkata pendidikan tinggi berperanan dalam membangunkan ilmu, pemikiran kritis dan potensi diri generasi muda sebagai persediaan untuk menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Keseimbangan antara pembangunan ilmu dan kebolehpasaran graduan penting dalam melahirkan modal insan yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan serta cabaran masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi ahli panel bagi program Malaysia MADANI: Perspektif Generasi Muda Bersama YB Tuan Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, di sini, baru-baru ini.

Dalam forum itu, beliau menegaskan bahawa mahasiswa merupakan antara pemegang taruh utama dalam institusi pengajian tinggi dan pandangan mereka wajar diberi perhatian dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Selain itu, beliau turut menyentuh kepentingan menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta terlibat secara aktif dalam perbincangan yang berkaitan dengan pendidikan tinggi dan pembangunan negara.

Antara perkara yang dibincangkan dalam program bual bicara itu termasuk kebolehpasaran graduan, pembangunan modal insan, pendidikan tinggi, kos sara hidup mahasiswa, penglibatan mahasiswa dalam proses membuat keputusan serta cabaran yang dihadapi generasi muda dalam mendepani perubahan dunia yang semakin dinamik.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Anak Melaka (PESAMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut mendapat kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM).

Program itu menjadi platform kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan negara serta membincangkan pelbagai isu berkaitan pendidikan tinggi, pembangunan belia dan aspirasi generasi muda.

Selain mahasiswa UKM, program tersebut turut disertai oleh pelajar dari Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus memperluaskan ruang perkongsian pandangan dan pertukaran idea dalam kalangan mahasiswa daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

Forum yang berlangsung dalam suasana santai dan terbuka itu memberi peluang kepada mahasiswa mengemukakan pandangan, cadangan serta persoalan mengenai pelbagai isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan dan masa depan golongan muda.

Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen UKM dalam memperkukuh budaya dialog intelektual dan menyediakan platform yang menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan diri, masyarakat dan negara.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Dr. Munira Ismail serta Penasihat Persatuan Mahasiswa Anak Melaka UKM, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham.

Leave a Reply