BANGI, 22 Jun – Karnival Simfoni Citra 2026 yang dianjurkan oleh Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menghimpunkan pelbagai kursus CITRA dalam satu platform berkonsepkan karnival bagi mempamerkan hasil pembelajaran, kreativiti serta penghayatan nilai yang menjadi teras pendidikan liberal universiti.
Pensyarah Pusat Citra Universiti, Dr. Nurul Hanis Aminuddin Jafry berkata karnival yang diadakan itu mencerminkan pendekatan pendidikan CITRA yang menekankan pembangunan mahasiswa secara menyeluruh merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.
“Melalui Karnival Simfoni Citra, mahasiswa berpeluang menterjemahkan hasil pembelajaran kursus kepada aktiviti yang lebih praktikal dan berimpak.
“Pendekatan ini membantu mereka memahami bahawa ilmu bukan sekadar teori, tetapi perlu dihayati, diamalkan dan dikongsi bersama masyarakat,” ujarnya.
Tambah beliau, penglibatan mahasiswa antarabangsa dalam program itu dapat memperkayakan pengalaman pembelajaran rentas budaya, manakala penyertaan pelajar sekolah memberi peluang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan komuniti serta menyampaikan ilmu dalam bentuk yang lebih mudah difahami.
Program yang berlangsung di Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim itu melibatkan penyertaan mahasiswa daripada pelbagai kursus CITRA serta menggabungkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa dalam menjayakan pelbagai reruai dan aktiviti bertemakan Integriti, Keusahawanan, Kebudayaan serta Penghayatan Etika dan Peradaban.
Karnival tersebut turut melibatkan pelajar Sekolah Rendah Jalan Tiga sebagai peserta, sekali gus membuka ruang kepada pendedahan awal mengenai pengalaman pembelajaran di peringkat universiti.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM), Muhammad Haikal Hamidi berkata, program seperti ini memberikan peluang kepada mahasiswa untuk berkongsi ilmu dan pengalaman pembelajaran dengan masyarakat melalui pendekatan yang lebih santai, kreatif dan bermakna.
“Karnival Simfoni Citra bukan sekadar pameran akademik, tetapi sebuah platform yang membolehkan mahasiswa menzahirkan idea, bakat dan kefahaman mereka terhadap pelbagai isu semasa.
“Program seperti ini turut menggalakkan interaksi antara mahasiswa daripada pelbagai latar belakang dan budaya, sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dalam komuniti kampus,” katanya.
Pengetua Kolej Keris Mas, Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham menyifatkan program tersebut sebagai platform yang berjaya menyatukan mahasiswa daripada pelbagai negara, budaya dan bidang pengajian melalui aktiviti berasaskan pengalaman serta interaksi sosial.
“Karnival ini membuktikan bahawa kepelbagaian latar belakang bukan penghalang untuk mahasiswa belajar, berkongsi dan berkembang bersama.
“Apabila mahasiswa tempatan dan antarabangsa bekerjasama dalam menjayakan aktiviti, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, malah membina kefahaman antara budaya, kemahiran insaniah serta semangat saling menghormati yang amat penting dalam dunia global hari ini,” katanya.
Ujar beliau, penglibatan mahasiswa dalam program tersebut mampu memperkukuh pembangunan sahsiah, kepimpinan dan identiti mahasiswa, di samping meningkatkan keupayaan mereka untuk merancang dan melaksanakan aktiviti yang memenuhi keperluan komuniti sasaran.
Karnival Simfoni Citra 2026 mencerminkan komitmen UKM dalam memperkasa pendidikan holistik yang menghubungkan ilmu, nilai dan pengalaman sebenar.
Melalui gabungan pelbagai kursus CITRA dalam satu platform, program ini mewujudkan suasana pembelajaran yang interaktif, inklusif dan merentas budaya, sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti dan berdaya saing.

