Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 20 Januari 2025 – Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Abdul Halim Abdul Gafor telah dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Pengakap Daerah, baru-baru ini.
Pelantikan itu disampaikan oleh Ketua Pengakap Negara, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM), Mejar Jeneral Prof. Dato’ Dr. Mohd Zin Bidin yang menyampaikan Watikah Pentauliahan Pelantikan tersebut dalam satu majlis dengan disaksikan oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Hj Toriman.
Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada Prof Dr Abdul Halim atas pelantikan itu dan berharap agar amanah yang dipikul dapat dijalankan dengan penuh dedikasi dan ikhlas demi mencapai kecemerlangan bersama.
“Pelantikan Prof Dr Abdul Halim sebagai Yang Dipertua Kelanasiswa Malaysia UKM bukan sahaja melambangkan kepercayaan institusi kepada keupayaan dan integriti yang melayakkan diri beliau terpilih untuk menyandang jawatan ini, tetapi juga untuk membawa perubahan positif dalam perkembangan kelanasiswa,” kataya.
Beliau berharap kelanasiswa UKM terus cemerlang dan menjadi badan beruniform yang bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan pelajar tetapi juga kepada kesejahteraan.
Dalam ucapan itu juga, beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang tujuh tahun penubuhan badan beruniform itu, telah banyak kejayaan yang telah diperoleh.
“Antaranya adalah 12 orang ahli kelana yang telah memperoleh Anugerah Baden Powell (BP Award) yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn dan empat orang ahli kelana telah memperoleh Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda peringkat Emas.
“Selain itu, kita juga turut berbangga kerana seramai 24 orang ahli Kelanasiswa Malaysia UKM secara rasminya telah menerima Supporter Badge Scout World Awards Patrimonito.
“Tahniah saya ucapkan kepada seluruh ahli kelana yang telah membanggakan nama UKM dan juga syabas kerana telah mencapai jumlah keahlian seramai 133 orang,” katanya
Dengan kejayaan itu, katanya beliau yakin bahawa badan beruniform bukan sekadar platform untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan dan disiplin, tetapi juga sebagai asas kepada pembangunan karakter dan jati diri yang kuat dalam kalangan mahasiswa kita.
Pada majlis ini, Ketua Pengakap Negara turut menyampaikan Commemorative Pin kepada lapan orang sempena 117 tahun PPM. Penyampaian Commemorative Pin ini merupakan simbol penghargaan dan pengiktirafan atas sumbangan serta komitmen dalam memartabatkan gerakan pengakap di Malaysia.
