Oleh Nuraderrah Hasnul Hafidzan
Foto oleh UKM Global
BANGI, 20 Januari 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) telah menganjurkan program mobiliti Entrepreneurship Edutourism melibatkan jalinan kerjasama dengan Universiti Ibn Khaldun (UIKA), Bogor, Indonesia.
Program yang melibatkan seramai 11 orang pelajar daripada pelbagai jurusan ini diadakan bagi memperkasakan kemahiran keusahawanan, khususnya dalam industri halal makanan dan minuman (F&B) melalui beberapa siri perkongsian ilmu, bengkel dan lawatan industri bersama pakar bidang. Turut serta sebagai fasilitator program adalah dua ahli Persatuan Global Buddies (UKMbassadors) yang membantu pelaksanaan program.
Program mobiliti ini telah melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuklah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dan Institut Islam Hadhari, yang menyampaikan pengetahuan berkaitan industri makanan halal di Malaysia, strategi keusahawanan yang berkesan serta kemahiran pengucapan awam pada hari pertama program.
Selain itu, pelajar turut berpeluang mendalami ilmu keusahawanan industri F&B serta pembuatan dan penyediaan produk makanan halal dari sudut pandang operasi perniagaan semasa sesi lawatan industri ke Pak Tam Katering Sdn Bhd.
Lebih menarik, semasa sesi lawatan ke Fakulti Sains Kesihatan (FSK), para pelajar telah mempelajari teknik penyediaan makanan halal dan sihat secara hands-on yang dibimbing oleh pakar dalam bidang dietetik.
Turut bersama dalam program di FSK adalah rakan industri dalam bidang keselamatan makanan, Kayuh Industries Sdn Bhd yang membentangkan produk inovasi makanan baharu berasaskan rumpai laut yang dibangunkan melalui penyelidikan bersama.
Di samping itu, para pelajar berpeluang mendengar taklimat dan merasai sampel coklat semasa lawatan ke kilang pembuatan coklat buatan tangan di Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Program sembilan hari ini padat dengan lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Penutup program ini telah diakhiri dengan sesi pembentangan berkumpulan oleh para pelajar mengenai idea inovasi produk makanan halal yang ingin dihasilkan serta strategi dan teknik pemasaran dari perspektif keusahawanan.
Dr. Novita Br Ginting, Pensyarah pengiring dari UIKA Bogor dalam ucapannya pada majlis penutup berkata program ini telah banyak memanfaatkan para pelajarnya yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan makanan halal dan beliau turut melahirkan rasa syukur dengan layanan baik yang diberikan oleh pihak UKM sepanjang program berlangsung.

