Prof. Dr Andrew Kent, Penerima Kedua Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 22 September 2022 – Prof. Dr Andrew Kent dari Faculty of Remote, Rural and Humanitarian Healthcare, Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd), Scotland menjadi pakar perubatan kedua yang menerima anugerah Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery, yang merupakan kerjasama strategik antara RCSEd dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Fellowship ini dianugerahkan oleh the Royal College of Surgeons of Edinburgh dalam bentuk program dengan kerjasama UKM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selari dengan inisiatif Global Surgery yang sedang dijalankan oleh KKM. Program fellowship ini telah diperkenankan penubuhannya oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang merupakan Canselor UKM semasa pembukaan Pejabat Antarabangsa RCSEd pada 17 Januari 2018 di Advanced Surgical Skills Centre (ASSC), UKM.

Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery dianugerahkan kepada pakar bedah kanan dari United Kingdom yang datang ke Malaysia untuk menimba pengalaman bekerja dalam persekitaran penjagaan kesihatan luar bandar yang menyediakan perkhidmatan pembedahan kepada masyarakat yang terpinggir dan kurang akses kepada rawatan yang canggih. Penerima juga akan terlibat dalam sesi pengajaran dan latihan kepada pegawai perubatan dan staf kesihatan di klinik kesihatan luar bandar.

Prof. Dr. Andrew Kent menjadi penerima kedua untuk fellowship ini. Beliau adalah perunding pembedahan Ortopedik dan trauma di Scotland. Beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Faculty of Remote, Rural and Humanitarian Healthcare di RCSEd.

Beliau juga merupakan Pengarah Pembedahan di UK-Med dan sentiasa terlibat dalam latihan dan kerja kemanusiaan. Beliau sentiasa dikerahkan ke beberapa kawasan yang bergolak di seluruh dunia dalam merawat pesakit. Prof. Dr. Andrew Kent ialah penasihat perubatan untuk The HALO Trust, yang merupakan sebuah badan amal British.

Pada tahun 2021, beliau berjaya menyelesaikan tugasan di Mosul dalam menyokong rakan sekerja di Iraq menguruskan kecederaan masyarakat awam di medan perang. Selain itu, beliau juga baru sahaja  pulang dari misi kemanusiaan di Ukraine dalam memberi perkhidmatan perubatan di sana.

Pada bulan November ini, beliau akan melawat Sabah untuk mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang sistem trauma di Borneo dan untuk berkongsi pengetahuan mengenai perancangan bencana dan meneroka kawasan pedalaman dimana rawatan pembedahan diberikan.

Penganugerahan Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery kali ini diadakan bersempena dengan Tuanku Muhriz Travelling Fellowship Lecture yang diadakan di RCSEd, Scotland, baru-baru ini.

Syarahan itu telah disampaikan oleh Prof Angus Watson, yang merupakan penerima pertama Tuanku Muhriz Travelling Fellowship in Rural Surgery.

DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM dan DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke majlis tersebut. Hadir sama ialah Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah dan Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Leave a Reply