Program Bubur Lambuk Perdana 2023 berjaya satukan ukhuwah warga UKM

Oleh Nurnabila Huda Subandry
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 14 April 2023 – Program Bubur Lambuk Perdana 2023 menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim antara kakitangan dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan membina hubungan luar dengan warga UKM serta penduduk sekitar Bangi.

Menurut Dekan FKAB, Prof. Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab Rahman merangkap penasihat program, program itu bertujuan untuk merapatkan ukhuwah antara pegawai serta staf FKAB dan persatuan-persatuan yang menyertainya kerana program tersebut dibuat atas dasar perkasa program tetapi memberikan impak yang sangat besar kepada komuniti.

Beliau berkata, berbeza dari program bubur lambuk yang lain, program ini bersifat integrasi kerana menghubungkan FKAB dengan rakan-rakan Pusat Tanggungjawab yang lain.

“Perkara yang paling penting sekali adalah hubungan antara UKM dan juga pihak luar termasuk anak yatim dan orang asli,” katanya.

Program Bubur Lambuk Perdana itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Islam UKM, Kesatuan Kakitangan Am UKM (KESUKMA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTADI), Kelab pelajar FKAB (PEMATRA), Kelab Kebajikan Staf FKAB (KESUTRA) serta Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Pengarah Projek yang juga merupakan Ketua Pentadbiran FKAB, Najib Adun berkata jumlah kutipan dana untuk program ini yang dikumpul dalam tempoh dua minggu telah mencecah hampir RM10,000.

“Sumbangan sebanyak ini semuanya datang daripada warga FKAB sendiri dan juga warga UKM yang turut sama menyumbang bagi menjayakan program ini.

Pegawai Tertinggi CUEPACS Selangor, Barudin Baharin berkata ini adalah pertama kali FKAB menganjurkan bubur lambuk perdana di bawah seliaan Pusat Islam UKM.

“Untuk FKAB sendiri, memang kerap dianjurkan program bubur lambuk seperti ini tetapi apa yang lain di program ini adalah FKAB telah bekerjasama dengan beberapa lagi persatuan dan menjadikan program ini mega sekaligus menyambut Hari Nuzul Al-Quran,” katanya.

Seramai 150 sukarelawan yang terdiri daripada setiap persatuan turut bergotong royong menyediakan bubur lambuk, daripada proses menyediakan bahan, memasak, membungkus sehingga mengagihkan pek bubur lambuk kepada warga UKM termasuk kampus Kuala Lumpur serta penduduk sekitar Bangi. Sebanyak 6,000 bungkus bubuk lambuk dihasilkan dan diedarkan kepada semua warga UKM termasuk di kampus Kuala Lumpur dan penduduk sekitar Bangi, rumah anak yatim dan warga emas.

Leave a Reply