Program Eco-Campus Tingkat Kemahiran Gaya Hidup Lestari

Oleh Muhammad Shafiq Rahmat
Foto oleh Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 – Walaupun keadaan kampus yang terletak di tangah-tengah bandar raya Kuala Lumpur mempunyai ruang yang terhad, namun warga Fakulti Sains Kesihatan (FSK) Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE) mengambil inisiatif mengadakan program “Eco-Campus Kampus Kuala Lumpur” yang bertujuan  menambahkan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran tentang gaya hidup Lestari.

Program yang diadakan baru-baru ini diadakan bagi mempromosi amalan memakan sayur-sayuran dalam kalangan warga kampus.

Ruang kampus yang terhad dan dikelilingi oleh bangunan mencakar langit,  tidak menghadkan pelajar dan kakitangan untuk menjalankan aktiviti berkaitan kelestarian seperti berkebun dan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan kehidupan lestari yang dikenali sebagai Program Eco-campus. 

Menurut Pro Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan, projek itu adalah selari dengan Pelan Strategi Kelestarian Universiti Kebangsaan Malasyia (UKM) iatu mengintegrasikan alam sekitar dengan dasar, pengurusan dan pendidikan tinggi yang memberi impak positif terhadap alam sekitar, ekonomi dan masyarakat.

“Aktiviti ini juga menempati empat daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan Baik, Tiada Kelaparan, Pendidikan Berkualiti serta Bandar dan Komuniti Lestari,” katanya semasa menyampaikan ucapan.

Beliau berkata sebanyak dua kebun bandar telah dibangunkan di Kampus Jalan Raja Muda Abdul Aziz, manakala sebuah kebun bandar telah dibangunkan di kawasan kediaman pelajar di Jalan Temerloh, Kuala Lumpur,” katanya.  

Projek itu dijalankan dengan kerjasama antara persatuan pelajar dan kakitangan di FSK, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi serta Kolej Tun Syed Nasir.

Selain itu, Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian Malaysia juga turut memberi memberi sokongan dalam bentuk khidmat nasihat. Manakala pengusaha kafeteria di dalam kampus iaitu Kafe Dolchezza terut terlibat dalam initiatif mengurangkan penggunaan cawan plastik.

Menurut Ketua Projek Eco-Campus UKM Kampus Kuala Lumpur, Prof Madya Dr. Zahara Abdul Manaf projek Eco-Campus adalah salah satu projek yang ditaja oleh Geran Kelestarian UKM dan sehingga kini, lebih daripada 60 jenis tanaman telah ditanam di tiga kebun bandar yang dibina dengan keluasan kebun 6000 kaki persegi.

“Pelajar yang terlibat dalam projek ini dikenali sebagai Eco-campus Warrior dan mereka dibimbing oleh kakitangan yang merupakan penyelidik projek ini tentang teknik berkebun dan khasiat tanaman. 

“Projek ini melibatkan lebih daripada 100 orang pelajar dan kakitangan yang bekerjasama membina kebun ini bermula daripada penyediaan tapak tanaman sehingga menuai hasil bermula daripada bulan Ogos 2024,” katanya.

Selain daripada aktiviti berkebun, pelbagai program tentang kehidupan lestari dijalankan melalui i webinar, aktiviti kitar semula, mural serta membuat produk daripada hasil kebun.

Prof Madya Dr. Zahara berharap para pelajar yang terlibat dalam projek itu dapat mengamalkan segala ilmu dan kemahiran yang telah dipelajari sepanjang penglibatan mereka dalam Projek Eco-Campus, bukan sahaja semasa berada di kampus, malah selepas bergelar graduan kelak.

“Semoga mereka dapat menjadi agen perubahan dengan menyebarkan amalan hidup lestari dan pemakanan sihat kepada masyarakat di luar sana, seterusnya menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih sihat dan lestari,” ujarnya.

Leave a Reply