UKM Teroka Kerjasama Pendidikan Dengan Vietnam

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 28 Mei – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersedia meneroka peluang dengan universiti di Vietnam dengan penawaran program dual ijazah dan penubuhan pusat kecemerlangan.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Gafor menyatakan komitmen universiti untuk memperkukuh hubungan antara Malaysia dan Vietnam melalui kerjasama berimpak dalam bidang pendidikan tinggi, perkongsian ilmu serta sumbangan berterusan kepada masyarakat kedua-dua negara.

“Kami berharap dapat menubuhkan universiti bersama di Malaysia dan Vietnam serta memperluas ASEAN Centre for Global Talent.

“Kami juga merancang untuk menubuhkan Pusat Kerjasama Malaysia-Vietnam yang akan memberi tumpuan kepada inisiatif bagi mempertingkat hubungan dua hala antara kedua-dua negara,” beliau berkata di Majlis Syarahan Umum Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.

Chinh dalam syarahannya menekankan kepentingan kerjasama antara Vietnam dan Malaysia dalam bidang pembangunan digital, sains dan bahasa Inggeris, termasuk pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) yang berkaitan dengan pendidikan.

“Saya menghargai pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan dua universiti terkemuka di Vietnam iaitu Universiti Nasional Vietnam Hanoi dan Universiti Nasional Vietnam Ho Chi Minh yang membuka peluang baharu dalam bidang pendidikan dan penyelidikan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa setiap negara perlu berdaya tahan dan saling menyokong dalam menghadapi cabaran global.

Tambah beliau, hubungan yang lebih erat dan perkongsian kepakaran bukan sahaja antara Vietnam dan Malaysia, malah dengan negara-negara lain, adalah sangat penting untuk kemajuan terutama sekali dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Syarahan ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir; Felo DiRaja UKM, Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.

Leave a Reply