Program Jelajah Budaya India Pupuk Nilai Murni Pelajar KTSN

Oleh Shakthi A/P R Selvam
Foto oleh Kolej Tun Syed Nasir

PUCHONG, 11 JANUARI 2025 – Kolej Tun Syed Nasir (KTSN) melalui Kelab Kebudayaan India (KKI) telah menjayakan Program Jelajah Budaya India (JBI) yang juga dikenali sebagai Panpaatu Payanam sepanjang bulan Disember 2024 sehingga awal Januari 2025.

Program yang bermula dengan aktiviti bulan amal (Charity Month), Explorace dan diakhiri dengan aktiviti kesukarelawan di rumah kebajikan Heavenly Child Home, Puchong ini melibatkan seramai 100 pelajar KTSN.

Matlamat program ini adalah bagi memupuk kefahaman dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya India dan menyemai nilai murni dalam kalangan pelajar KTSN, selain meningkatkan penyertaan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan di rumah kebajikan kanak-kanak yang memerlukan.

Aktiviti bulan amal yang dijalankan sepanjang Disember tahun lalu telah memberi peluang kepada pelajar untuk memberi sumbangan berbentuk buku pembelajaran dan pengajaran, alat tulis, dan alat permainan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut.

Melalui aktiviti ini, seramai 10 orang pelajar telah berpeluang menyertai usaha murni KKI dengan menyumbang tenaga dalam program yang dijalankan, serta memastikan kesejahteraan kanak-kanak terjaga.

Aktiviti explorace diadakan bagi memperkenalkan kepelbagaian budaya kaum India melalui makanan, pakaian, dan permainan tradisional di setiap stesen kepada 10 kumpulan peserta.

Dengan pendekatan ini, peserta dapat memperluas pengetahuan mereka tentang budaya India, seterusnya dapat menjalin hubungan yang baik antara kaum yang lain.

Menurut salah seorang peserta aktiviti explorace, Nur Nazira Afiqa Md Nazir, permainan yang disediakan amat menarik dan memberikan peluang berharga untuk menimba ilmu serta memahami dengan lebih mendalam tentang kebudayaan kaum India.

Selain itu, aktiviti kesukarelawanan di rumah kebajikan Heavenly Child Home pula  merupakan aktiviti penutup bagi Program Jelajah Budaya India. Aktiviti ini telah mendapat kerjasama dari Pertubuhan Education Matters, melalui tenaga pengajarnya,  Hamsni A/P Perumal.

Dana pendapatan program JBI termasuk tajaan dan sumbangan daripada bulan amal telah digunakan untuk menyediakan sudut bacaan kepada kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut iaitu lima buah meja, sebuah rak buku dan papan putih.

Pemilik rumah kebajikan Heavenly Child Home, Simran Kaur berkata beliau bersyukur dengan bantuan yang telah disalurkan oleh pelajar KTSN dan bantuan itu  akan menjadi sokongan besar dalam pembelajaran kanak-kanak di rumah tersebut.

Pengarah program, Dharshini A/P Rajendran tmengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penaja atas usaha dan bantuan yang disalurkan bagi menjayakan program tersebut.

Leave a Reply