Program STEM Explorer : Celik Solar Tingkat Minat Murid Orang Asli Terhadap Teknologi Tenaga Solar

Oleh Ts Dr Idris Zulkifle
Gambar Mohammad Hafiz Mohd Ali

JOHOL,19 Ogos 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil inisiatif dengan mengadakan program STEM Explorer: Celik Solar kepada Murid Orang Asli Peringkat Negeri Sembilan bagi meningkatkan pengetahuan, minat dan kesedaran murid sekolah terhadap kepentingan tenaga boleh baharu dengan memberi penekanan khusus kepada teknologi tenaga solar.

Pendekatan pembelajaran secara interaktif dan berasaskan pengalaman digunakan bagi membantu murid memahami konsep asas tenaga solar dengan lebih mudah serta mengaitkannya dengan situasi dan keperluan dalam kehidupan seharian.

Program yang berteraskan pemindahan ilmu dan khidmat masyarakat ini menghimpunkan seramai 95 orang murid sekolah rendah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Senibai, SK Tekir, SK Putra, SK Sungai Sampo dan SK Dangi.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dr. Bariah Mohd Ali berkata UKM sentiasa komited untuk berkongsi kepakaran kepada masyarakat dalam melahirkan generasi yang lebih kreatif dan berfikiran kritis.

“Melalui aktiviti yang dianjurkan, murid berpeluang meneroka konsep tenaga solar secara lebih dekat, termasuk memahami bagaimana tenaga matahari boleh dimanfaatkan sebagai sumber tenaga alternatif yang bersih dan lestari,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di SK Senibai, Johol Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Beliau berharap agar pendedahan itu dapat membina kefahaman awal kepada murid mengenai kepentingan penggunaan sumber tenaga yang lebih mesra alam serta peranan teknologi dalam menangani cabaran kelestarian alam sekitar.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen UKM dalam memperluas akses kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya kepada murid Orang Asli di samping memperkenalkan mereka kepada teknologi tenaga boleh baharu.

Program STEM Explorer: Celik Solar ini diharap dapat diteruskan dan diperluas pada masa akan datang bagi memberi lebih banyak peluang kepada murid Orang Asli untuk mendapat pendedahan terhadap bidang STEM, teknologi hijau dan tenaga boleh baharu.

Usaha ini selaras dengan aspirasi UKM untuk memperkukuh peranan universiti sebagai institusi yang bukan sahaja sebagai pusat  ilmu, malah menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada keperluan masyarakat pada masa hadapan.

Program yang dianjurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni dengan kerjasama pelajar antarabangsa Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, (UKM-GSB) dan Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI-UKM) ini memperlihatkan kekuatan kerjasama antara warga akademik, alumni, pelajar dan pihak sekolah dalam menjayakan agenda pemindahan ilmu kepada masyarakat.

Penglibatan Pelajar Antarabangsa UKM-GSB dalam program ini juga membuka ruang kepada interaksi dan perkongsian pengalaman yang lebih luas.

Leave a Reply