Methamphetamine atau lebih dikenali sebagai ‘meth’, ‘ice’ atau ‘shabu’ semakin menjadi ancaman besar kepada golongan remaja di Malaysia. Dadah perangsang yang mempunyai potensi ketagihan yang tinggi ini memberi kesan yang serius terhadap kesihatan mental dan fizikal, khususnya jantung.
Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), methamphetamine kini menjadi dadah yang paling banyak disalahgunakan di Malaysia. Laporan pada tahun 2024 menunjukkan bahawa 70.4 peratus daripada keseluruhan kes penyalahgunaan dadah melibatkan methamphetamine, melibatkan seramai 119,410 penagih. Lebih membimbangkan, majoriti penagih adalah lelaki berusia antara 19 hingga 39 tahun. Masalah ini bukan sahaja isu tempatan tetapi juga cabaran peringkat global.
Ancaman Bahaya Senyap
Methamphetamine bertindak dengan merangsang pelepasan dopamin dalam otak, mencetuskan perasaan euforia atau keseronokan melampau. Namun, nikmat singkat ini datang dengan harga yang mahal. Penggunaan methamphetamine yang berterusan memaksa sistem kardiovaskular untuk bekerja secara berlebihan. Ia menyebabkan peningkatan kadar degupan jantung dan tekanan darah yang mendadak, sekaligus menjejaskan fungsi jantung dan saluran darah.
Antara kesan buruk yang dihadapi termasuk serangan jantung yang berlaku secara tiba-tiba, terutamanya dalam kalangan individu yang muda dan sihat. Ini disebabkan oleh saluran darah yang mengecut dan pembentukan darah beku yang menghalang aliran darah ke jantung. Selain itu, gangguan rentak jantung atau aritmia boleh menyebabkan kematian mengejut. Keadaan ini amat merisaukan kerana ramai yang tidak menyedari bahaya senyap ini.
Masalah ketagihan terhadap methamphetamine juga boleh mengakibatkan kerosakan jantung yang kekal. Penggunaan kronik dadah ini menyebabkan kelemahan otot jantung, dikenali sebagai kardiomiopati, yang menghalang jantung daripada mengepam darah dengan cekap. Pesakit mungkin mengalami gejala seperti sesak nafas, keletihan, dan bengkak pada kaki. Dalam kes yang lebih teruk, keadaan ini boleh membawa kepada kegagalan jantung.
Kesedaran dan Harapan
Komplikasi akibat penyalahgunaan methamphetamine bukanlah sesuatu yang hanya berlaku semasa pengambilannya. Kesan buruknya terhadap jantung boleh kekal walaupun seseorang telah berhenti mengambil dadah ini. Inilah yang menjadikan methamphetamine sebagai ancaman besar yang memerlukan perhatian serius daripada semua pihak.
Menurut pakar perubatan, menghentikan ketagihan methamphetamine adalah langkah paling berkesan dalam mengurangkan risiko komplikasi terhadap jantung. Program rawatan yang menyeluruh perlu diperkenalkan, termasuk rawatan perubatan dan sokongan psikologi bagi membantu penagih mengatasi masalah ini. Selain itu, advokasi dan pendidikan awam perlu dipergiatkan agar masyarakat lebih memahami bahaya dadah ini terhadap kesihatan.
Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu memainkan peranan dalam membantu mereka yang terjerat dengan ketagihan ini. Diharapkan, lebih banyak pihak termasuk NGO, institusi pendidikan, dan keluarga dapat berganding bahu untuk menghapuskan ancaman methamphetamine daripada terus memusnahkan generasi muda. Jantung bukan sekadar organ penting dalam tubuh, tetapi ia juga simbol kehidupan yang perlu dijaga dengan baik.
Dalam menghadapi perang dadah ini, kesedaran dan tindakan proaktif menjadi kunci utama. Jangan biarkan generasi muda kita terus terjerumus dalam bahaya senyap ini. Sama-samalah kita membantu mereka membina masa depan yang lebih cerah dan sihat.
Maklumat Penulis
Profesor Madya Dr. Azizah Ugusman
Ketua Jabatan Fisiologi dan Pensyarah (Pakar Fisiologi Kardiovaskular)
Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia
Profesor Madya Dr. Jayakumar Murthy
Pensyarah Jabatan Fisiologi (Pakar Neurosains Ketagihan)
Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia