Sambutan Hari Raya UKM istimewa, disambut bersama ulang tahun ke-53 penubuhan UKM

Oleh Kogileswari a/p Vellisamy
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 18 Mei 2023 – Majlis Sambutan Hari Raya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun ini sangat istimewa apabila disambut bersama ulang tahun UKM ke-53, yang jatuh pada 18 Mei 2023.

Majlis hari raya yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak itu disajikan dengan pelbagai juadah yang bertemakan menu popular dari setiap negeri di Malaysia.

Selain jamuan Hari Raya, beberapa persembahan dengan gabungan warga kerja, pelajar bersama pihak pengurusan tertinggi memeriahkan lagi majlis ini.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman Naib Canselor dalam ucapannya berkata beliau amat berbangga kerana sehingga kini UKM telah berjaya menjadi sebuah universiti watan yang disegani di peringkat negara dan antarabangsa.

“Kejayaan ini adalah hasil komitmen yang jitu dari setiap warga UKM sama ada pengurusan tertinggi, tenaga akademik, pentadbiran dan tidak kurang penting para pelajar.

“Semoga penghayatan terhadap falsafah, misi, visi dan matlamat penubuhan Universiti tercinta ini akan memberi inspirasi kepada kita dalam merangka hala tuju dan kecemerlangan UKM di masa akan datang,” katanya.

Walaupun sudah dipenghujung bulan Syawal, namun sambutan hari raya ini dapat membuka ruang untuk warga kerja serta pelajar beramah mesra dan mengambil kesempatan untuk bermaafan.

Pelajar antarabangsa yang hadir turut teruja dengan majlis yang dianjurkan tertutamanya mereka yang pertama kali menghadiri majlis sebegini dapat merasai kemeriahan suasana dan menjamu selera dengan pelbagai juadah tempatan.

Hadir sama, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Ahli-Ahli Lembaga Pengarah UKM, Mantan-mantan Naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pegawai Pengurusan Tertinggi UKM.

Turut diselitkan dalam majlis ini adalah penyampaian duit raya kepada anak-anak staf UKM, penyampaian Penjanaan UKMSHAPE Kepada UKM termasuk fakulti, institut dan pusat, penyampaian hadiah bagi Video Pendek Raya, Kad Raya Digital, busana terbaik (lelaki dan wanita) dan cabutan bertuah.

Leave a Reply