Sokongan UKM Jamin Kebajikan Pesara

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 5 Disember 2023 – Para pesara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperoleh sokongan berterusan daripada universiti untuk menjaga kebajikan mereka selepas bersara.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, salah satu inisiatif utama adalah peluasan skop penggunaan Kad Pesara UKM yang membolehkan para pesara menikmati kemudahan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) tanpa perlu membuat perbelanjaan sendiri.

“Manakala bagi anak di bawah jagaan pesara yang berumur 18 tahun dan ke bawah serta anak yang cacat atau kurang upaya tanpa had umur boleh mendapat kemudahan rawatan secara percuma di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Hospital Pakar Kanak-kanak UKM (HPKK).

“Selain daripada itu, pelbagai kemudahan perkhidmatan turut disediakan kepada pesara, termasuk akses kepada Perpustakaan Tun Seri Lanang dan Perpustakaan Cabang UKM.

“Para pesara juga layak menikmati diskaun bagi perkhidmatan di Poliklinik UKM Kesihatan, penggunaan dewan UKM, kemudahan pelekat parkir kereta dan kemudahan penginapan di makmal alami UKM,” katanya.

Naib Canselor mengajak para pesara terus menyumbang bakti terutamanya kepada masyarakat seperti melalui kegiatan NGO atau lain-lain platform yang sesuai.

“Bagi pesara yang telah dan akan meninggalkan universiti watan ini, ingin saya nyatakan bahawa persaraan tidak bermakna berakhir segala-galanya. Masa persaraan akan memberi kita peluang untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan.

“Saya berharap para pesara akan mengisinya sebaik mungkin dan terus menjalani kehidupan harian yang dalam keadaan yang aktif, menyegarkan, dan mencabar seperti semasa masih berkhidmat,” katanya.

Para pesara diraikan dalam Majlis Sanjungan Budi anjuran Jabatan Pendaftar di Dewan Canselor Tun Abdul Razak.

Pada majlis yang sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak turut melancarkan Hari Pesara UKM dan Kad Pesara Baharu UKM.

Leave a Reply