Teknik Thiel Dalam Pengawetan Mayat Lebih Selamat, Realistik

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Fakulti Perubatan

Dalam dunia perubatan, penggunaan mayat yang diawet atau kadaver merupakan komponen penting dalam pengajaran anatomi, latihan pembedahan dan penyelidikan.

Namun, kaedah pengawetan yang sudah lama diamalkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, adalah menggunakan formalin, iaitu bahan kimia terkawal yang sering digunakan sebagai pengawet, antiseptik dan disinfektan.

Menurut pensyarah Jabatan Anatomi Fakulti Perubatan, Universiti Keangsaan Malaysia (UKM), Dr Rasyidah Rehir, formalin berfungsi dengan baik untuk mengekalkan mayat dalam jangka panjang.

“Ada spesimen yang diawet menggunakan formalin masih berkeadaan baik dan digunakan selepas lebih 20 tahun.

“Walaubagaimanapun, bahan kimia ini turut dikategorikan sebagai karsinogen, dan pendedahan berpanjangan boleh membawa kesan serius termasuk risiko kanser.

“Tambahan pula, selepas diawet, warna kadaver akan menjadi pudar dan teksturnya agak ‘stiff’ atau keras. Jadi, ia kurang sesuai digunakan untuk latihan pembedahan atau penyelidikan,” katanya.

TEKNIK THIEL

Menyedari wujudnya jurang dalam kaedah sedia ada, Dr Rasyidah tertarik untuk meneroka kaedah pengawetan lain yang lebih maju dan selamat, iaitu teknikThiel.

Teknik Thiel merupakan kaedah pengawetan yang diasaskan di Austria dan dikembangkan di United Kingdom.

Menurutnya, kaedah ini dikenali sebagai ‘soft-fixation’ kerana ia mampu mengekalkan warna dan keanjalan tisu seperti keadaan sebenar untuk aplikasi pembedahan dan penyelidikan yang lebih realistik.

“Kelebihan teknik Thiel ini, ia tidak membuatkan tekstur mayat menjadi terlalu keras.

“Oleh itu, kadaver boleh digunakan bukan sahaja untuk pengajaran, tetapi juga untuk latihan pembedahan dan penyelidikan,” jelasnya.

Dari segi ketahanan pula, Dr Rasyidah berkata Thiel hanya mampu bertahan sekitar dua hingga empat tahun.

“Sebenarnya tempoh tersebut dianggap memadai kerana fokus utamanya ialah latihan pembedahan dan penyelidikan.

“Jadi, apabila sudah digunakan, spesimen tersebut memang tidak boleh disimpan untuk kegunaan semula,” katanya.

PUSAT KADAVER PERTAMA MALAYSIA

Selain itu, Dr Rasyidah juga terlibat dengan projek penubuhkan Pusat Kadaver bertaraf antarabangsa di Malaysia yang bertujuan untuk memajukan pengajaran anatomi, latihan pembedahan, dan penyelidikan.

“Saya berharap penubuhan Pusat Kadaver ini akan menjadi yang pertama di Malaysia dan dapat dilaksanakan bersama program pendermaan badan di peringkat nasional.

“Pusat Kadaver ini diharapkan menjadi hab untuk pengajaran dan penyelidikan, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Anatomi UKM masih menunggu kelulusan dana bagi penubuhan Pusat Kadaver ini.

Sementara itu, jabatan berkenaan sednag meneliti amalan terbaik dengan merujuk kepada pusat-pusat di Malaysia yang telah menjalankan program pendermaan badan secara kecil, seperti program Silent Mentor.

CABARAN DAN KESEDARAN

Dr Rasyidah berkata, cabaran utama di Malaysia ialah program pendermaan badan yang masih baharu dan belum mendapat pendedahan meluas.

“Tidak seperti pendermaan organ yang lebih dikenali masyarakat, tahap kesedaran dan pengetahuan umum tentang pendermaan badan masih rendah.

“Kita perlu perluaskan lagi agar lebih ramai tampil sebagai penderma.

“Cabaran kedua pula ialah fasiliti. Setakat ini, di UKM sendiri kami belum bersedia sepenuhnya untuk menerima pendermaan badan kerana masih dalam proses menaik taraf, termasuk menambah ruang beku bagi menyimpan mayat,” katanya.

Selain itu, ada juga cabaran dari aspek kepercayaan dan keagamaan, tambahnya.

“Buat masa ini, pendermaan badan belum dibenarkan untuk masyarakat beragama Islam, hanya pendermaan organ sahaja.

“Dalam jangka panjang, kita akan adakan perbincangan bersama pihak mufti untuk menilai sama ada ada ruang bagi membuka peluang ini kepada penderma Islam.

Dari sudut etika, Dr. Rasyidah berkata negara Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus yang mengawal selia pendermaan badan.

“Berbeza dengan pengalaman saya di Edinburgh, Scotland, semasa menyambung pengajian, di sana mereka ada akta khusus, ada garis panduan jelas, malah ada ‘inspector’ yang menjalankan audit di setiap institusi.

“Dengan adanya undang-undang berkenaan pendermaan badan, keyakinan penderma dan ahli keluarga lebih terjamin kerana badan mereka dilindungi, termasuk hal-hal seperti penyebaran gambar,” katanya.

GERAN ANUGERAH MERDEKA

Dr Rasyidah merupakan salah seorang pemenang Geran Anugerah Merdeka Untuk Penempatan Antarabangsa 2025.

Geran berprestij yang dikurniakan oleh Merdeka Award Trust ini mengiktiraf bakat luar biasa anak muda yang bakal mewakili Malaysia dalam penempatan jangka pendek di institusi terkemuka dunia.

Bagi Dr Rasyidah, beliau sudah merancang destinasi sangkutannya di luar negara bagi memperluas inisiatif latihan perubatan melalui program pendermaan badan dan pemeliharaan kadaver lanjutan.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Thiel Cadaveric Facility di Universiti Dundee, United Kingdom, sebuah pusat khas yang terkenal dengan kepakaran dalam penggunaan Teknik Thiel.

Selain itu, beliau turut merancang untuk ke Universiti Graz di Austria, iaitu tempat asal kelahiran Teknik Thiel.

“Di Graz, mereka menggunakan lebih kurang tujuh jenis solusi pengawetan. Jadi selain Thiel, saya juga berpeluang mempelajari teknik-teknik lain.

“Setiap teknik mempunyai keberkesanan dan cara penyelenggaraan berbeza, bergantung pada suhu serta kelembapan negara masing-masing.

“Jadi, saya boleh melihat sendiri mana satu kaedah yang paling sesuai untuk diaplikasikan di Malaysia,” katanya.

Akhir sekali, beliau merancang untuk ke Taiwan atau mana-mana negara di sekitar Asia.

“Tujuan saya adalah untuk melihat teknik pengawetan yang digunakan dan menilai sama ada ia sesuai dengan iklim Asia.

“Pada masa sama, saya mahu memahami bagaimana program pendermaan badan dilaksanakan mengikut budaya dan kepercayaan masyarakat setempat,” katanya.

Dr Rasyidah turut menyatakan harapannya agar teknik yang dipelajarinya bukan sahaja dimanfaatkan di UKM, tetapi juga dapat diperluas ke institusi lain di seluruh Malaysia.

Leave a Reply