UKM Bangunkan Projek Laman Ilmu

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 Ogos 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti awam yang pertama membangunkan Projek Laman Ilmu yang bakal menempatkan ruang komersil, hab inovasi dan laman rekreasi dengan kos RM9.383 juta.

Menurut Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, hab inovasi yang akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 14.37 ekar itu akan memfokuskan kepada penyelidikan dan rawatan menggunakan sel stem.

“Hab inovasi akan dibangunkan hasil jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan dan penyelidikan dengan sebuah Universiti terkemuka di negara China.

“Kerjasama berkenaan bakal menawarkan program ijazah lanjutan program Sarjana dan Doktor Falsafah kepada para pelajar.

“Selain itu, sebahagian projek ini juga akan dijadikan kawasan rekreasi dan bercirikan laman hijau yang akan menjadi salah satu tumpuan rekreasi oleh penduduk setempat kerana ianya terletak di dalam pola penempatan serta berhampiran dengan laluan Denai Sungai Langat,” katanya di Majlis Pecah Tanah Projek Laman Ilmu @UKM.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Canselor turut menjelaskan tentang projek naik taraf Lapang Sasar Golf dengan menambah bilangan bay serta kemudahan lain seperti surau, kafeteria, kedai serbaneka dan aksesori golf serta ruang parkir yang banyak.

“Lapang Sasar Golf dua tingkat yang baharu ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 11.6 ekar dan terdiri daripada 52 bay.

“Atas permintaan yang sangat menggalakan dari peminat sukan golf yang bukan sahaja dari kawasan Bandar Baru Bangi, bahkan dari kawasan Lembah Klang dan Putrajaya, kemudahan ini wajar dimajukan,” katanya. Jelasnya, projek ini merupakan usaha UKM untuk meningkatkan penjanaan pendapatan yang merupakan salah satu daripada agenda utama UKM yang perlu dicapai oleh warga UKM.

Leave a Reply