Naib Canselor Cadang PERKEM diangkat Sebagai Platform Utama Malaysia Economic Forum

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

SEBERANG JAYA, 5 Ogos 2023 – Naib Canselor, Prof Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman mencadangkan kepada Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim agar Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM) diangkat sebagai satu platform utama tahunan Malaysia Economic Forum seperti World Economic Forum (WEF), Davos.

Prof Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan memberi cadangan itu kerana PERKEM merupakan persidangan tahunan berprestij yang dianjurankan oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM yang telah bermula secara konsisten sejak tahun 2006.

“Sepanjang penganjuran PERKEM, ia telah melibatkan perkongsian buah fikiran oleh prominent speakers dalam hal ehwal ekonomi seperti Allahyarham Tan Seri Mohd Ali Hashim, Tan Sri Datuk Dr Mohd Kamal Salih, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid dan ramai lagi.

“Jadi, sebagai sebuah universiti watan, UKM beriltizam dan komited dalam melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi di peringkat global dan nasional, sekaligus menyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara dan rakyat selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan juga matlamat ekonimi MADANI yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini untuk meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan di PERKEM Ke-16, 2023, di sini.

Katanya, UKM berharap tema PERKEM 16 pada tahun ini iaitu Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di era Ketidakpastian Geo-Politik akan menjadi wadah untuk memperkasakan dan menyuburkan semula ketidaktentuan ekonomi negara.

“Dalam menangani pelbagai cabaran ekonomi masa kini, UKM dan para akademiknya akan terus memainkan peranan untuk menggerakkan usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik dan krisis geo-politik melalui pelbagai kajian serta kepakaran merentasi semua disiplin ilmu.

“Usaha ini akhirnya dapat menjayakan matlamat Malaysia MADANI yang menjadikan dasar dan pelaksanaannya lebih masuniawi yang sentiasa ditambah baik,” tambah beliau.

Beliau berkata, sejak bermulanya PERKEM pada tahun 2006, sudah menjadi tradisi penganjuran persidangan itu menjelajah pelbagai negeri sebagai tempat persidangan dan pada tahun ini UKM berbesar hati dapat menjayakan PERKEM di negeri Pulau Pinang.

Forum ekonomi kali ini telah membariskan empat orang pakar ekonomi iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Johan Mahmood Merican; Pengarah MINDA-UKM, Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali; Felo Akademi Sains Malaysia, Dato’ Dr. Madeline Berma; Pengarah, Ekonomi & Pembangunan Industri Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Encik Johari Minal dan Encik Terrence Dass sebagai pengendali forum. PERKEM Ke-16 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow dan Ketua Setiausaha Negara merangkap Pro-Canselor UKM, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Leave a Reply