UKM dan Rakan Industri Rai Pelajar Tahfiz

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 5 April 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama rakan industri meraikan pelajar-pelajar tahfiz Masjid Al-Hasanah melalui Program Sentuhan Kasih Ramadan HEJIM-UKM yang diadakan di Masjis Al-Hasanah, di sini, semalam.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Ts Dr Norazah Mohd Nordin berkata program itu diadakan bagi menyantuni komuniti bersama pihak industri yang menjadi rakan strategik UKM.

“Kita nak tonjolkan keterlibatan rakan industri yang sentiasa bersama UKM. Jadi, kita mengajak mereka untuk turut sama-sama meraikan dan memberi sedikit sumbangan kepada anak-anak tahfiz ini bagi menyambut hari raya yang bakal tiba,” katanya.

Rakan-rakan industri UKM yang terlibat adalah Bank Rakyat, Sabella, Hospital Islam Az-Zahrah dan Syarikat Abdul Antiques.

Katanya, pada majlis ini juga UKM bersama rakan industri memberi sumbangan duit raya, tudung dan serban kepada 58 orang pelajar tahfiz yang berumur 10 hingga 19 tahun.

“Selain itu, kita turut memberi sumbangan jubah kepada guru-guru dan mewakafkan Al-Quran kepada anak-anak tahfiz ini.

“Walaupun jumlah yang disumbangkan ini tidaklah besar, tetapi kita berharap dengan sedikit sumbangan ini dapat memberi kecerian kepada mereka semua dalam menyambut hari raya,” ujarnya.

Sepanjang bulan Ramadan, UKM telah berganding bahu dengan rakan industri dan masyarakat bagi menganjurkan beberapa program yang memberi inisiatif kepada warganya dan juga masyarakat di sekitarnya.

Antaranya adalah UKM menyediakan hidangan berbuka puasa untuk 1,000 orang yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar UKM, serta penduduk sekitar yang hadir untuk berbuka puasa di Masjid UKM dan sekaligus menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih di masjid itu. Program Ihya Ramadan ini telah menerima sumbangan lebih RM140,000 yang disumbangkan oleh orang perseorangan, alumni-alumi UKM, warga UKM dan juga orang ramai .

Selain itu, melalui portfolio Hal Ehwal Jaringan Indusri dan Masyarakat (HEJIM) UKM, beberapa program antarabangsa juga telah dirancang iaitu program tahunan Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) yang menghimpunkan belia dari 10 buah negara ASEAN. Program ini telah diadakan sejak tahun 2013.

Dua lagi program yang bakal berlangsung pada bulan Mei ini adalah Persidangan Serantau AsiaEngage dan Persidangan Wakaf Antarabangsa.

Disamping itu, pelbagai aktiviti kerohanian turut diadakan di UKM sepanjang bulan Ramadan seperti siri ceramah agama dan tazkirah yang melibatkan warga UKM dan jemputan industri, sambutan majlis Nuzul Al-Quran dan bantuan kepada gelandangan di sekitar ibu negara.

Leave a Reply