Kerjasama UKM dengan PTPTN Tingkatkan Kesedaran Penabungan Melalui Simpan SSPN

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

5 APRIL 2024 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama strategik dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan penabungan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) selain kesedaran untuk membuat bayaran balik pinjaman PTPTN.

Kerjasama yang dijalin melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua belah pihak ini bakal memberi manfaat kepada pelajar dan graduan UKM dalam memperkaya usaha-usaha pembangunan penyelidikan dan pendidikan tinggi.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Gs Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata pemeteraian MoU itu menjadi saksi usaha sama antara UKM melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) dan PTPTN bagi memastikan mahasiswa UKM terus melakar kejayaan selepas bergraduan kelak.

“HEP-UKM sangat proaktif untuk terus membantu pelajar bergraduasi dengan lebih berkualiti yang mampu memenuhi keperluan industri, seterusnya dapat membayar balik pinjaman pendidikan mereka.

“Jadi, saya berharap agar program-program yang telah dirangka sepanjang kerjasama ini akan berjalan lancar dan memberikan banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak, khususnya manfaat kepada pelajar supaya mereka menjadi lebih produktif,” katanya.

Dokumen MoU itu telah ditandatangan oleh Mohd Ekhwan yang mewakili UKM manakala PTPTN diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid. Penandatangan MoU itu disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Puan Mastura Mohd Khalid.

Sementara itu, Ahmad Dasuki berkata, PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited membudayakan agenda penabungan untuk perancangan kewangan masyarakat Malaysia melalui Simpan SSPN di samping menyediakan pinjaman bagi tujuan pendidikan tinggi.

“Hasrat PTPTN adalah untuk membantu ibu bapa dan pelajar agar mempunyai perancangan kewangan yang baik demi masa depan pendidikan agar tidak terbeban dengan hutang.

“Melalui perancangan kewangan, graduan tidak terlalu bergantung kepada pinjaman semata-mata sebaliknya menggunakan simpanan untuk menampung kos pengajian mereka,” katanya.

Beliau berharap dengan kerjasama itu dapat memberikan impak positif kepada PTPTN dan UKM dalam memastikan para pelajar lebih cakna dan berpengetahuan mengenai perancangan kewangan melalui Simpan SSPN.

Antara aktiviti yang bakal diadakan untuk tempoh lima tahun ini adalah meningkatkan kemahiran dan pengetahuan graduan agar mereka berupaya memenuhi keperluan industri bagi meningkatkan peluang pekerjaan selain melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meningkatkan kesejahteraan warga UKM.

Kerjasama strategik ini juga berupaya meningkatkan kesedaran dan pemahaman berkenaan bayaran balik pinjaman untuk pembiayaan generasi akan datang. Selain itu kepentingan membuat perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi melalui amalan penabungan serta pelbagai aktiviti yang akan dianjurkan dalam penyampaian informasi dan promosi PTPTN menerusi medium hebahan yang bersesuaian.

Diharap dengan kerjasama dan usahasama ini dapat memberikan impak kepada usaha-usaha UKM dan PTPTN dalam memastikan para pelajar lebih cakna dan berpengetahuan mengenai Simpan SSPN di samping dapat membuka banyak peluang dan juga faedah kepada kedua-dua belah pihak.

Leave a Reply