UKM dan University of Melbourne Anjur Forum Amalan Baik Ketahanan Siber

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2022 – Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersana University of Melbourne (UoM) bekerjasama dalam menganjurkan Forum Amalan Baik Ketahanan Siber untuk Organisasi Infrastruktur Kritikal.

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata forum yang diadakan itu menandakan permulaan kerjasama projek penyelidikan tentang daya tahan siber yang dijalankan oleh penyelidik dari UKM dan UoM.

“Kerjasama pakar dari Universiti of Melbourne and Universiti Kebangsaan Malaysia, serta sokongan daripada kedua-dua kerajaan seharusnya membolehkan kita mencapai matlamat strategik dalam memperluaskan aktiviti penyelidikan di samping mencari penemuan (hasil penyelidikan) yang baharu,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Forum Amalan Baik Ketahanan Siber, di sini.

Katanya, beliau percaya bahawa profesional keselamatan siber daripada industri mempunyai banyak pengalaman dalam menangani ancaman siber setiap hari

yang boleh dikongsi dalam forum tersebut.

“Saya harap forum ini akan memberikan pemahaman yang menyeluruh tentang bagaimana organisasi boleh mencapai daya tahan siber untuk memerangi peningkatan bilangan serangan siber.

“Saya yakin bahawa peserta yang hadir ke forum ini akan dapat berkongsi dan mengembangkan pengetahuan mereka dalam bidang tersebut. Semoga usaha kolaboratif ini akan lebih memberi inspirasi perkongsian pada masa hadapan,” katanya.

Forum yang mendapat  tajaan daripada Australian Government’s Department of Foreign Affairs, Agensi Keselamatan Siber Negara dan Akademi Keselamatan Siber Malaysia telah menghimpunkan seramai 100 peserta dari Malaysia dan Australia.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia, Dr Justin Lee, Pengarah Majlis Keselamatan Negara Malaysia, Zamari Misman, Pengarah Universit of Melbourne, Prof. Madya Dr. Atif Ahmad dan Timbalan Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, Prof. Madya Dr Siti NorulHuda Sheikh Abdullah.

Leave a Reply