UKM Terima 4,166 Pelajar Baharu Sesi Akademik 2022/2023

Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 8 Oktober 2022 -Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima kemasukan pelajar baharu seramai 4,166 orang pelajar bagi sesi akademik 2022/2023 di tiga kampusnya iaitu Kampus Bangi, Kampus Kuala Lumpur dan Kampus Cheras.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata UKM menerima sebanyak 44,750 permohonan dengan 9,112 adalah permohonan pilihan pertama.

“Daripada jumlah itu, hanya 4,166 sahaja yang layak dan dipilih menjadi sebahagian daripada warga Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya semasa Sidang Media Pendaftran Pelajar Baharu Sesi Akademik 2022-2023, di Kolej Pendeta Za’ba, di sini, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 1,460 atau kira-kira 36 peratus adalah pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan lima pelajar adalah orang kurang upaya (OKU) yang mengalami cacat pendengaran, cacat penglihatan dan cacat fizikal.

“Kita sedaya upaya telah sediakan kemudahaan fasiliti, penginapan dan bantuan kebajikan pelajar yang bersesuaian bagi memberi keselesaan kepada semua pelajar,” katanya.

Mengulas berkenaan bantuan yang diberikan, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan berkata selepas pengumuman keputusan kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) diumumkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, UKM melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM) telah mengadakan Program Jejak Anak Watan ke rumah bakal pelajar untuk menyerahkan surat tawaran kemasukan ke universiti serta bantuan yuran kemasukan dan sara hidup berjumlah RM1,300 seorang.

“Selepas meneliti latar belakang keluarga, HEP-UKM telah berkunjung ke rumah tiga orang pelajar iaitu Siti Nurhalizatul Husna Arman, Muhammad Haziq Haqim Hazrisyam dan Siti Nuranis Nordin bagi menyerahkan surat tawraan dan bantuan yang bersesuaian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata UKM turut menyokong penuh Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (atau lebih dikenali sebagai SULUNG), hasil inisiatif KPT yang telah dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Program ini agak istimewa, kerana ia bertujuan membantu anak sulung dalam keluarga yang memerlukan bantuan melanjutkan pengajian ke universiti.

“Melalui program ini, pelajar yang terpilih bukan sahaja diberi laluan khusus kemasukan ke Universiti Awam, tetapi turut ditawarkan biasiswa, elaun bulanan, asrama dan pementoran sehingga pelajar mendapat pekerjaan.

“Di UKM, kita menerima seramai 10 orang pelajar yang terlibat dengan program SULUNG ini,” katanya.

Menariknya pendaftaran tahun ini, belaiu berkata, UKM turut menerima lima pasang pasangan kembar perempuan yang akan sama-sama melanjutkan pengajian di universiti itu.

Pada tahun ini, Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) UKM yang diadakan setiap tahun telah dijenamakan semula dengan nama baharu iaitu Minggu Apresiasi Watan (MAW), bersesuaian dengan kredibiliti UKM sebagai Universiti Watan. Bertemakan Pewaris Watan, MAW yang berlangsung bermula 8 hingga 12 Oktober ini menerapkan program-program kewatanan seperti Naratif Baharu Kolej Akademia, Naratif Watan: Teras Kecemerlangan, UKM S.I.H.A.T., UKM Siswi Cergas, Amanat Naib Canselor, Ikrar Pelajar Baharu dan Pelancaran Program Sulung & Seni Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.

Leave a Reply