UKM Iktiraf Pensyarah OKU

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 23 Ogos 2023 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengiktiraf seorang pensyarah orang kurang upaya (OKU) penglihatan pada majlis Penghargaan Anugerah Perkhidmatan 2023, hari ini.

Dr Al-Amril Othman yang juga merupakan pensyarah Program Sejarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan menerima Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun.

Beliau mula berkhidmat di UKM sebagai tutor pada tahun 1995 dan dinaikkan pangkat ke jawatan pensyarah sementara pada tahun 2007. Beliau dilantik sebagai pensyarah kanan setelah menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) selama 12 tahun, pada tahun 2018.

Beliau merakamkan penghargaan kepada UKM diatas pengiktirafan tersebut dan menyifatkan kekurangan fizikal bukanlah penghalang kepada diri untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Saya berterima kasih kepada UKM diatas sokongan dan kepercayaan kepada saya sehingga mencapai tahap ini. Atas kepercayaan tersebut, saya mampu memberi sumbangan kepada universiti ini.

“Saya melihat banyak peningkatan UKM dari segi fasiliti, motivasi dan kursus-kursus untuk memperkasa golongan OKU,” katanya.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs, Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman berkata UKM sentiasa berusaha untuk memacu kejayaan berterusan yang mengambil kira kecemerlangan modal insan, kebajikan warga UKM, dan penyampaian perkhidmatan berkesan.

Baru-baru ini, UKM dianugerahkan sebagai Majikan Prihatin Peringkat Badan Berkanun Tahun 2023, jelasnya.

“Pelbagai inisiatif telah diambil bagi menjamin kecemerlangan modal insan dan kesejahteraan semua warga UKM. Kejayaan UKM pada hari ini adalah sumbangan semua warga yang bergandingan menabur bakti menyulam budi.

“Sesungguhnya warga UKM adalah tulang belakang yang menjadi teras kepada kejayaan universiti ini dalam menjayakan agenda meletakkan universiti ini pada kedudukan yang tinggi di persada antarabangsa,” katanya. Majlis kali ini meraikan 794 warga UKM yang membabitkan 453 penerima Anugerah Perkhidmatan Kecemerlangan Perkhidmatan; Anugerah Perkhidmatan 20 Tahun (280); penerima Anugerah Perkhidmatan 30 Tahun ( 52) serta sembilan penerima Anugerah Perkhidmatan 40 Tahun.

Leave a Reply