UKM Jalin Kerjasama dengan HUDI, Indonesia, Perkukuh Penyelidikan bidang Seni Bina

Oleh Nur Izzati Ab Rahman
Foto Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

JAKARTA, 1 September 2023 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama antarabangsa dengan The Housing and Urban Development Institute (HUDI), Indonesia melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan penyelidikan bidang perumahan.

Memorandum yang ditandatangi untuk tempoh lima tahun itu akan memperkukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua pihak dalam pelbagai aspek terutamanya dalam bidang seni bina dan alam bina.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak berkata kerjasama itu akan menyaksikan lebih banyak lagi peluang-peluang dan bidang-bidang baharu untuk diterokai secara bersama antara UKM dan pihak HUDI.

“Semua kerjasama yang dilaksanakan antara UKM dengan Institusi Pendidikan Tinggi di Indonesia selama ini telah memberi impak yang besar kepada UKM dalam meningkatkan keserlahan (visibility) antarabangsa UKM dengan institusi dan universiti tersohor di Indonesia.

“Kerjasama yang terjalin antara UKM dan rakan kolaborasi di Indonesia ini juga bakal memberikan impak yang besar kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan negara Malaysia sendiri,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoU UKM dengan HUDI di Auditorium Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Jakarta Selatan, Indonesia.

Beliau berharap agar kerjasama dua hala itu akan dapat melahirkan graduan dan staf yang berdaya saing dengan pengalaman interaksi diperingkat global melalui program mobiliti dan penyelidikan bersama.

“Kerjasama ini juga akan merancakkan program silang budaya yang mendorong kepada penjanaan ekonomi kepada kedua-dua negara dan memperkasa pengetahuan serta pengalaman pembelajaran yang dapat menawarkan pendidikan berkualiti dengan melahirkan lebih ramai graduan dipelbagai peringkat pengajian prasiswazah dan pascasiswazah.

“UKM yakin bahawa persetujuan bersama dalam kerjasama akademik dan penyelidikan ini akan membuka lebih banyak jalinan kerjasama penting selanjutnya dalam pelbagai bidang yang lain sebagai sebahagian daripada perkongsian strategik bersama,” ujarnya. 

Kolaborasi antara dua institusi ini bermatlamat untuk membina hubungan baik dengan HUDI, khasnya Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) dalam pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran, penyeliaan, penyelidikan dan penerbitan, serta pembangunan kapasiti dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Antara aktiviti utama yang akan dilaksanakan ialah penghantaran seramai 10 orang ahli-ahli HUDI untuk melanjutkan pengajian di UKM dengan berbiasiswa penuh, penyelidikan dalam bidang perumahan, mengadakan program pertukaran kakitangan, kerjasama penyeliaan, penyelidikan, dan penerbitan berimpak tinggi.

Melalui peluang kerjasama ini, staf atau karyawan di PUPR dan HUDI boleh menyertai peluang belajar dan menggunakan kemudahan di Pusat Persisir (Offshore Center) UKM di Jakarta. Majlis pemeteraian MoU yang diadakan bersempena Hari Perumahan Nasional, Indonesia 2023 (HARPENAS 2023) dihadiri oleh Direktor Jeneral Perumahan PUPR, Ir. Iwan Suprijanto; Ketua Umum HUDI, Ir. Zulfi Syarif Koto dan Ketua Dewan Pengawas HUDI, Ir. Soelaeman Soemawinata dan Dekan FKAB UKM, Prof. Ir. Dr. Mohd. Syuhaimi AB Rahman.

Leave a Reply