Perkasa Sektor Pertanian Guna IoT

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 1 September 2023 – Kerjasama strategik antara Institut Informatik Visual (IVI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan ARB Berhad mampu memperkasakan sektor pertanian dengan penggunaan internet pelbagai benda (IoT).

Kolaborasi ini bakal menyaksikan pelaburan naik taraf makmal pintar yang dikenali sebagai “Smart Command Centre Lab for Smart Farming”, dengan nilai hampir RM 400,000.00.

Menurut Ketua Program ARB-UKM, Prof. Madya. Dr. Mohammad Nazir Ahmad, makmal pintar ini menjadi pusat data dengan mengekstrak data yang terdapat pada ladang fizikal ARB Berhad di Malaysia untuk tujuan penyelidikan bersama.

“Makmal ini juga berfungsi sebagai sistem pemantauan dan pengawasan tanaman dari segi pembajaan, penggunaan air dan bahan lain dengan penggunaan sensor.

“Gabungan IoT dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pertanian ini dapat meningkatkan produktiviti, kecekapan tanaman dan mengurangkan kos pengeluaran serta tenaga kerja.

“Data yang terkumpul kemudiannya digunakan oleh para penyelidik, pelajar latihan industri, staf ARB yang menjalankan kajian di peringkat sarjana dan PhD di institut dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Tambahnya, kerjasama ARB-UKM ini cuba meneroka model baharu kerjasama strategik yang bersifat jangka panjang dan masing-masing mampu mencapai pulangan pelaburan (ROI) yang disasarkan.

“Untuk ROI di pihak UKM, kami mensasarkan pelajar latihan industri yang ditaja ARB akan menjadikan program ini sebagai platform melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan doctor falsafah di UKM.

“ARB akan terus menghantar kakitangannya melanjutkan pengajian dan akhirnya perkongsian pendapatan dari hasil tanaman IoT dalam bentuk geran industri ARB. Selain itu, ROI dari segi pengkomersilan produk-produk kajian ARB-UKM akan dikongsi bersama,” katanya.  

Menurutnya, para penyelidik juga dianugerahkan geran industri dari pihak ARB menerusi pendapatan penjanaan melon IOT dan juga geran khusus industri secara kumulatif setakat ini melebihi RM97,000.00.   

“Pihak IVI juga dalam perancangan untuk memperkenalkan kursus “Techno-Agro” yang memfokuskan pengajaran bersifat praktikal bagi membolehkan pelajar didedahkan kepada ilmu tentang pertanian pintar, latihan dan lawatan di semua ladang fizikal ARB, seterusnya membuka peluang kepada peluang pekerjaan di bawah program keusahawanan kendalian pihak ARB sendiri,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ARB Berhad, Dato Seri Liew Kok Leong, kolaborasi bersama universiti merupakan salah satu agenda penting dalam memperkasakan unit penyelidikan ARB Berhad dan juga mengkomersilkan solusi bersama ARB-UKM.

“Pihak ARB juga membenarkan penyelidik UKM menggunakan semua fasiliti naik taraf bagi kajian dalam bidang seperti IoT, kecerdasan buatan, analitik, pembelajaran mesin dan realiti maya bagi manfaat peningkatan mutu penyelidikan dalam bidang pertanian pintar untuk jangka panjang. “Kami juga bersetuju berkongsi pendapatan dari hasil jualan tanaman IoT kepada pihak IVI dalam perjanjian persefahaman penjanaan yang akan dimeterai bersama,” tambahnya.

Leave a Reply