UKM Jalin Kerjasama dengan PDRM, Perkukuh Keupayaan Siasatan JSJN

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 21 Oktober 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama strategik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuhkan dan menambahbaik keupayaan penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melibatkan bahan psikoaktif baharu (NPS).

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata MoU itu berupaya untuk menambahbaik siasatan JSJN dengan menggunakan kaedah saintifik, terutama sekali bagi urusan siasatan bahan psikoaktif baharu .

Beliau berkata kerjasama itu juga akan melibatkan penyampaian latihan dalam bentuk sijil profesional UKM.

“Sebanyak dua sijil profesional telah diluluskan oleh Senat UKM. Kedua-dua sijil profesional ini telah dimulakan khusus untuk kerjasama ini dan diharapkan ia boleh dikembangkan untuk agensi lain juga di masa akan datang,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani MoU antara UKM dengan PDRM, di sini.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagi pihak PDRM manakala UKM diwakili Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Menurut Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan, kerjasama yang dimeterai itu merupakan suatu usaha yang sangat relevan bagi UKM untuk turut sama berganding bahu secara lebih aktif dengan PDRM dalam usaha memerangi jenayah terutamanya jenayah narkotik yang merupakan antara musuh utama negara kita.

“UKM sebagai universiti watan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang sentiasa bersedia membantu pihak PDRM dalam usaha membanteras penyalahgunaan narkotik baharu seperti NPS ini,” katanya.

Sementara itu, Tan Sri Acryl Sani berkata melalui kerjasama itu PDRM dan UKM akan melakukan kajian dan penyelidikan antaranya melibatkan perincian sebatian aktif dalam dadah bagi menentukan bahan yang mendorong pengguna dadah terlibat dengan jenayah.

Beliau berkata melalui kerjasama itu juga satu pangkalan data forensik molekul NPS akan dibangunkan.

“Sehingga kini dadah jenis NPS masih belum disenaraikan dalam jadual Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dilihat semakin kompleks berikutan pihak terlibat sentiasa cuba mencipta bahan kimia baharu untuk menggantikan bahan yang telah dijadualkan.

“Saya yakin jaringan kerjasama ini mampu mempertingkatkan lagi usaha PDRM khususnya JSJN dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah secara total selain memberi ruang kepada para penyelidik untuk meneroka ilmu baharu yang dapat menyumbang kepada dapatan yang memberi manfaat kepada umum,” katanya.

Beliau berkata berkata program penyelidikan menerusi MoU itu juga akan memenuhi keperluan jangka panjang PDRM bagi pembangunan sumber manusia manakala hasil penyelidikan akan diguna pakai untuk operasi JSJN. “MoU ini merupakan langkah bagi membantu pihak berkuasa untuk menangani penularan dadah dengan lebih baik selain menyokong pembangunan pakar bagi kedua-dua pihak dalam memenuhi keperluan sains forensik,” katanya.

Leave a Reply