Hari Akademia Hargai Jasa Pensyarah

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tuan rumah sambutan penutupan Hari Akademia tahun 2022 yang disambut bagi menghargai jasa para pendidik di peringkat pendidikan tinggi.

Bertemakan ‘Akademia Memacu Kesejahteraan Komuniti’, sambutan ini merupakan manifestasi penghargaan negara terhadap sumbangan ahli akademik di peringkat institusi pengajian tinggi.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar berkata sambutan tahun ini memberi tumpuan khas kepada usaha dan titik peluh jurulatih, guru serta pensyarah pendidikan tinggi yang menjadi ikon, pakar, contoh ikutan dan pencetus perubahan atau changemaker kepada pelajar-pelajar mereka.

“Hari Akademia disambut untuk menghargai jasa keilmuan dan pemikiran terkehadapan para pendidik di peringkat pendidikan tinggi yang tidak kenal penat dan lelah serta yang telah bingkas bangun untuk kembali berusaha demi melonjakkan pendidikan tinggi negara ke tahap global, selepas pandemik global COVID-19 melanda dunia.

“Ketika seluruh dunia kini bangkit dari mimpi ngeri pandemik COVID-19 yang pada saat ini sudah dapat dikawal, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia terus aktif dalam menggubal dasar, memperkenalkan inovasi dan mempelopori pendidikan tinggi berorientasikan masa depan yang berpaksikan teknologi memuncul (emerging technology),” katanya.

Beliau juga menekankan inisiatif ‘Education for Social Development’ perlu bermula dari tahap pendidikan paling asas dan kemudiannya diperkukuhkan sebaik mungkin di peringkat pendidikan tinggi.

“Para pelajar yang boleh berfikir secara kritis memerlukan para pendidik dan pensyarah yang boleh menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran pasca Revolusi Industri ke-4 yang disulam dan ditekat dengan nilai-nilai amanah, jujur dan bersedia untuk berbakti kepada negara.

“Paling utama, nilai ketuhanan dan manusiawi positif ini amat sesuai dibawa dan diterapkan oleh warga pensyarah dan pendidik di institut pengajian tinggi,” tambahnya.

Majlis turut menyaksikan pemasyuran 13 orang ahli akademik dari Institut Pengajian Tinggi sebagai Ikon Akademia tahun ini. Hadir sama, Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman; Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Nasrudin Bin Mohammed; Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin dan Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil.

Leave a Reply