UKM Kaji Kaedah Baharu Fasa Klinikal Rawatan Kanser Darah

Oleh Asmahanim Amir
Foto Noorasyikin Yusuf

CHERAS, 10 Ogos 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Terapi Sel, Hospital Canselor Tuanku Muhriz menjalankan dua kajian fasa klinikal imunoterapi berasaskan sel (IBS) atau sel terapi bagi merawat penyakit kanser darah.

Dua kajian itu ialah terapi sel dendritik (DC) dan terapi sel CAR-T (Chimeric Antigen Response-T).

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Dr. Noor Azmi Ghazali berkata kerajaan menyambut baik usaha yang dilakukan oleh Pusat Terapi Sel UKM dan akan menyemak isu seperti regulatori yang dikatakan menyekat perkembangan rawatan penyakit itu.

Katanya Kementerian Kesihatan (KKM) akan melihat perkara ini berikutan trend penyakit tidak berjangkit serta kanser menunjukkan peningkatan dewasa ini.

“Kita menyokong kajian sebegini dan akan melihat perkara ini lebih mendalam, memperbaiki keadaan dan melihat isu seperti regulatori yang dikatakan menyekat, menyebabkan kita agak ke belakang berbanding negara lain,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Saintifik Persatuan Hematologi Malaysia ke-19 tahun 2022, di sini.

Mengulas berkenaan kajian klinikal tersebut, beliau berkata kejuruteraan terapi sel T merupakan strategi baharu untuk merawat pesakit relaps/refraktori leukemia dan limfoma.

“Saya difaham kumpulan penyelidik CAR-T Pusat Terapi Sel UKM ini telah mereka bentuk satu kajian klinikal yang pertama di Malaysia untuk menilai profil keselamatan dan keberkesanan terapi CAR-T untuk pesakit kanser relaps/refraktori B-leukemia limfoblastik akut dan limfoma B-non Hodgkin.

“Kajian-kajian ini sudah pasti akan memberi impak positif terhadap perkembangan rawatan kanser darah di Malaysia selain memberi peluang kepada pesakit-pesakit kanser darah berulang atau kemorefraktori untuk mendapatkan rawatan alternatif,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kanser teratas bagi wanita adalah kanser payudara, lelaki (prostat), serta kanser kolorektal didapati meningkat di samping kanser lain seperti paru-paru yang disebabkan penuaan rakyat negara ini dan amalan gaya hidup tidak sihat.

Persidangan tahunan yang diadakan selama tiga hari dengan tema Cell Therapy itu adalah anjuran bersama antara UKM melalui Pusat Terapi Sel dan Persatuan Hematologi Malaysia. Persidangan yang diadakan secara hibrid itu turut disertai oleh peserta dari Bangladesh, Australia dan United Kingdom. Hadir sama di majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi LPU, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak; Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid dan Presiden Persatuan Hematologi Malaysia, Prof. Dr. Gan Gin Gin.

Leave a Reply