Meningkatkan Penjanaan Pendapatan Universiti Jadi Fokus Utama Bendahari UKM

Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Ogos 2022 – Bendahari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Azli Mohd Kasirun menjadikan agenda penjanaan pendapatan (income generation) sebagai agenda utama dalam memastikan kewangan universiti berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata setiap pusat tanggungjawab (PTj), fakulti dan institut perlu tahu sumber aktiviti dan program yang boleh memberi penjanaan kepada PTj tersebut.

“Ini adalah cabaran yang berat, tetapi perkara ini (penjanaan pendapatan) tidak mustahil untuk dicapai. Perkhidmatan yang boleh memberi pendapatan kepada universti perlu dijadikan sebagai rutin, contohnya penyelidikan, sewaan bangunan, kemudahan atau ruang, ini semua boleh memberi pendapatan kepada universiti.

“Jadi, saya mahu mengubah mentaliti semua warga UKM untuk berfikir cara menjana pendapatan,  bukan hanya menggunakan jalan mudah mendapatkan sumber kewangan dari Jabatan Bendahari,” katanya.

Beliau berkata strategi utama yang digunakan oleh jabatan beliau adalah mengubah kaedah pembiayaan kepada PTj.

“Sekarang ini kita gunakan kaedah pembiayaan baharu melalui One Line Budgeting (OLB) yang menekankan apa yang dijana oleh PTj, Bendahari akan pulangkan semula 100 peratus.

“Kaedah yang kedua adalah saya susun semula pendekatan cara saya bekerja. Saya mahu tumpukan kepada perkara strategik, manakala perkara yang melibatkan operasi diletakkan kepada pegawai atau kakitangan lain di PTj dan Jabatan Bendahari sendiri. Pegawai perlu cekap dan berfikiran terbuka dalam menjalankan cara kerja kerana kita akan ke arah digital supaya kita bergerak seiring dengan kemajuan universiti dan maju ke hadapan,” jelasnya.

Dalam menghadapi kedudukan kewangan semasa yang agak terhad, Mohd Azli berkata konsep OLB perlu ditekankan dan warga UKM perlu juga berjimat cermat.

Pemberian seed money (modal awalan) akan digerakkan bagi membolehkan PTj melaksanakan aktiviti penjanaan. Konsep “cash flow management” akan diperkemaskan yang mana wang tunai di bank akan digunakan secara optimum dan dilaburkan. Seterusnya, lebihan aliran tunai ini akan digunakan untuk membiayai aktiviti penjanaan di PTj. Keuntungan tersebut boleh digunakan oleh PTj untuk membeli peralatan baharu dan aktiviti penjanaan yang seterusnya.

“PTj yang memohon sumbangan kewangan dari Jabatan Bendahari perlu bersedia untuk segera membayar balik duit kepada Jabatan Bendahari melalui penjanaan pendapatan. Kita akan utamakan projek yang dapat menjana pendapatan dengan segara.

Berkongsi tentang beban tugas yang ditanggung, katanya beliau hanya mahu fokus kepada penjanaan pendapatan universiti

“70 peratus kerja saya adalah tertumpu kepada perkara yang strategik atau yang melibatkan penjanaan pendapatan dan 30 peratus yang lain adalah untuk aktiviti operasi seorang Bendahari. Selebihnya, pegawai-pegawai saya akan membantu saya menguruskan operasi Jabatan Bendahari,” katanya.

Untuk tempoh lima tahun akan datang, Mohd Azli berharap agar Jabatan bendahari UKM lebih menggunakan kaedah digital dalam semua proses kewangan.

“Mungkin kita akan bangunkan aplikasi (apps) untuk urusan di Jabatan Bendahari bagi memudahkan warga UKM mengakses perkhidmatan yang ada di jabatan kami. Kita pun dah buat sistem e-perbolehan yang memudahkan semua kerja-kerja perolehan,” katanya.

Dari segi pembiayaan, katanya beliau sangat suka jika universiti memperbanyakkan projek-projek yang memberi impak besar kepada penjanaan universiti. “Kita dah ada dua buah hospital. Jika projek UKM Specialist Centre 2 diluluskan, kita akan dapat menjana pendapatan yang lebih besar disamping dapat membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat,” katanya.

Leave a Reply