UKM Kaji Sanitasi Udara dalam Sistem Pendingin Hawa

Oleh Azril Izzat Ramlan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Julai 2022 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) menjalankan kajian sanitasi udara dalam sistem pendingin hawa bagi menara penyejuk di hospital kerajaan.

Kajian itu adalah kerjasama antara SERI dengan Biosure Professional Sdn Bhd.

Menurut Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani, kualiti udara dalaman (IAQ) yang baik amat diperlukan terutamanya di hospital atau pusat perubatan.

“Kualiti udara dalaman yang lemah boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jangka pendek dan jangka panjang,” katanya semasa Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Biosure Professional Sdn Bhd di sini.

Selain itu, katanya, objektif MoU tersebut adalah untuk mendapatkan pembiayaan penyelidikan selain menyediakan pengetahuan teknikal dan teknologi untuk projek penyelidikan di samping menjalankan pelbagai aktiviti penyelidikan secara bersama-sama.

“Melalui perkongsian ini, pelbagai pengetahuan baru dan idea boleh dikongsi di antara SERI dengan Biosure Professional Sdn. Bhd. melalui program pembangunan struktur, kursus  pengendalian sistem, pengumpulan data dan analisis sistem, serta mengenal pasti kebolehan teknologi sanitasi udara untuk kegunaan UKM dan masyarakat.

“Impak lain yang boleh terhasil adalah kerjasama dalam projek penyelidikan peringkat tinggi, menerbitkan penulisan berimpak hasil jaringan universiti dan industri serta memberi inspirasi khususnya kepada warga UKM ,” katanya.

Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani berkata kerjasama antara kedua-dua insuitusi itu  adalah peluang terbaik bagi UKM dan Biosure Professional Sdn. Bhd. untuk menyumbang kepada usaha Dasar Alam Sekitar Negara dalam skop pemantauan alam sekitar bagi pembangunan yang lebih bersih dan mampan menggunakan teknologi lestari.

“Perkongsian ini bukan sahaja memenuhi misi UKM sebagai sebuah universiti yang menyumbang kepada masyarakat dengan menyampaikan pengetahuan saintifik, tetapi juga sebagai anggota komuniti yang mempunyai komitmen untuk melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapannya untuk memastikan nilai pembangunan lestari diterapkan di setiap peringkat masyarakat sebagai inisiatif ke arah pembangunan lestari. Pemeteraian MoU itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal yang mewakili UKM dan Biosure Professional diwakili oleh Pengarah Eksekutifnya, Low Chee Haw.

Leave a Reply