UKM Sokong Inisiatif  KPT Laksana Menu Siswa Keluarga Malaysia 

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 13 Julai 2022 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyokong inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memperkenalkan Menu Siswa Keluarga Malaysia di semua kafeteria di ketiga-tiga kampusnya bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar terutamanya dari golongan B40.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata pengenalan kepada Menu Siswa Keluarga Malaysia itu adalah salah satu usaha pihak universiti yang cakna dan prihatin dengan keadaan semasa pelajarnya.

“Kita semua faham, kebelakangan ini banyak harga barang meningkat dan menyebabkan kos sara hidup juga meningkat.

“Bagi meringankan beban pelajar, UKM mengambil langkah ini (Menu Siswa Keluarga Malaysia ) untuk dinikmati oleh semua pelajar di kampus terutamanya pelajar dari golongan B40,” katanya.

Di UKM katanya, pihak pengurusan telah menetapkan harga RM3.50 untuk menu makanan tengah hari iaitu nasi putih, masakan ayam atau ikan, sayur dan kuah atau sup, manakala makan malam pula adalah nasi goreng dan telur mata.

“Menu itu boleh dinikmati oleh semua pelajar UKM di semua kafeteria di dalam kampus Bangi, Cheras dan Kuala Lumpur.

“Mungkin bagi sesetengah pelajar, bantuan ini tidak seberapa, tetapi kita perlu bersyukur, inisiatif KPT ini adalah tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata pengurusan universiti juga telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha kafeteria bagi mencari kaedah terbaik penyediaan menu kepada pelajar.

“Terima kasih kepada semua pengusaha kafeteria kerana memberikan kerjasama yang baik dalam penetapan harga makanan Keluarga Malaysia,” katanya.

Bagi meringankan beban pengusaha kafeteria, katanya pihak kafeteria diberi moratorium bayaran sewaan bulanan selama enam bulan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meluangkan masa melawat dan makan tengah hari Menu Siswa Keluarga Malaysia bersama pelajar UKM di kafeteria Kolej Dato’ Onn semalam selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia di universiti itu.

Beliau turut meninjau pendapat dan cadangan para pelajar berkenaan Menu Siswa Keluarga Malaysia yang dijual sehidangan lengkap sepinggan pada harga RM 3.50 di kafeteria kolej itu. Menu tersebut merupakan salah satu daripada lima inisiatif yang diambil oleh kementerian dalam mengurangkan beban para pelajar dalam mendepani kenaikan kos sara hidup baru-baru ini.

Leave a Reply