UKM Kekal dalam Kelompok 150 Universiti Terbaik Dunia

Oleh Murniati Abu Karim

BANGI, 18 JUN 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia apabila berada di tangga ke-130 dalam QS World University Rankings 2027.

Dalam penarafan terbaharu, UKM mencatat peningkatan 81 anak tangga bagi indikator Sitasi per Fakulti, di samping merekodkan kenaikan 38 anak tangga dalam Jaringan Penyelidikan Antarabangsa, 35 anak tangga dalam Kelestarian dan 16 anak tangga dalam indikator Pelajar Antarabangsa.

Walaupun mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, UKM masih berada dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik daripada 1,504 institusi yang disenaraikan serta dalam kelompok dua peratus teratas daripada 8,808 institusi yang dinilai di seluruh dunia.

Menurut Naib Canselor Prof Dato Dr Sufian Jusoh, kedudukan tersebut perlu dilihat dalam konteks persaingan global yang semakin sengit.

“Penarafan ini merupakan salah satu penanda aras penting untuk menilai prestasi dan mengenal pasti ruang penambahbaikan.

“Pada masa yang sama, kekuatan universiti perlu dilihat dari segi kualiti pendidikan, impak penyelidikan dan sumbangannya kepada masyarakat.

“Kami akan terus memberi tumpuan kepada semua aspek ini dalam usaha meningkatkan prestasi universiti secara menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, pencapaian ini adalah hasil usaha, dedikasi dan komitmen seluruh warga UKM yang sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan.

“Terima kasih kepada semua warga UKM atas sumbangan yang telah mengangkat nama universiti ke persada antarabangsa. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan,” katanya.

Leave a Reply