UKM Meterai Kerjasama Baharu dengan Institusi Uzbekistan

Oleh Noor Hayati Ahmad Rasol

TASHKENT, 16 Jun 2026 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperbaharui dan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan dua institusi penyelidikan terkemuka Uzbekistan bagi memperkasa agenda pengantarabangsaan dan penyelidikan.

MoU tersebut melibatkan penyambungan kerjasama dengan Islamic Civilization Center in Uzbekistan (ICCU) serta jalinan kolaborasi baharu bersama Imam Maturidi International Scientific Research Center untuk tempoh lima tahun.

Dokumen berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Dr. Sufian Jusoh dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato’ Dr. Fariza Md Sham FASc bersama Pengarah ICCU, Firdavs Abdukhalikov dan Pengarah Imam Maturidi International Scientific Research Center, Prof. Dr. Komiljon Shermuhamedov.

Prof. Sufian berkata kerjasama tersebut akan memberi tumpuan kepada program mobiliti pelajar, pertukaran akademik, penyelidikan bersama dan sangkutan penyelidikan.

“Kerjasama akademik ini bukan sahaja mengangkat martabat kesarjanaan Islam di persada global, malah membuka ruang luas buat warga UKM dan institusi di Uzbekistan untuk meneroka inovasi dalam penyelidikan rentas disiplin yang relevan dengan cabaran kontemporari.

“Bagi merealisasikan hasrat tersebut, fokus kerjasama ini akan ditumpukan kepada program mobiliti pelajar dan pertukaran akademik.

“Langkah ini bakal membuka ruang serta peluang yang lebih luas bagi program pertukaran pelajar antarabangsa antara kedua-dua buah negara demi perkongsian ilmu, pengalaman dan pemahaman budaya yang lebih mendalam,” katanya.

Sempena lawatan itu, delegasi UKM turut mengunjungi galeri ICCU bagi meninjau koleksi manuskrip dan khazanah sejarah tamadun Islam dari Asia Tengah.

Lawatan tersebut turut memberi pendedahan kepada UKM mengenai penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) diaplikasikan secara praktikal bagi memelihara, menganalisis dan memartabatkan warisan sejarah warisan dunia dalam konteks zaman moden.

Leave a Reply