Menjaga Pesakit Strok Terlantar

Oleh Dr. Nor Haty Hassan, Pensyarah Kanan, Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan

Strok merupakan penyebab kematian ketiga tertinggi di Malaysia selepas penyakit jantung iskemik dan jangkitan saluran pernafasan bawah. Walaupun kadar kelangsungan hidup meningkat, ramai pesakit pulang dengan pelbagai tahap ketidakupayaan.

Strok terbahagi kepada strok iskemik (saluran darah tersumbat) dan strok hemoragik (pendarahan dalam otak). Kesan ketidakupayaan ini berbeza mengikut lokasi dan keluasan kerosakan tisu otak. Ada pesakit yang hanya memerlukan sedikit bantuan untuk bergerak, namun bagi kes yang teruk, pesakit boleh kehilangan kesedaran atau terlantar sepenuhnya hingga bergantung harap kepada ahli keluarga.

Oleh itu, penjaga perlu memahami keperluan unik pesakit mengikut bahagian otak yang terjejas, serta menguasai teknik penjagaan yang betul demi menjamin keselesaan dan mencegah komplikasi berbahaya.

JAGA KEBERSIHAN DIRI

Menjaga kebersihan diri pesakit adalah asas utama yang sering dipandang ringan tetapi sangat penting. Pesakit perlu dimandikan menggunakan kaedah mandi di atas katil bagi memastikan kulit sentiasa bersih dan mengurangkan risiko jangkitan kulit.

Gigi, gusi dan lidah perlu dibersihkan menggunakan kain atau berus gigi lembut. Mulut yang kotor boleh menjadi tempat pembiakan bakteria. Semasa mencuci mulut, penjaga mesti mengambil kira tahap kesedaran pesakit bagi mengelakkan mereka tertelan cecair ke dalam saluran pernafasan (aspiration pneumonia).

Lampin pakai buang perlu ditukar dengan kerap dan kawasan kemaluan mesti dibersihkan dengan betul bagi mengelakkan jangkitan kulit serta kudis tekanan di tulang punggung. Pastikan beg air kencing sentiasa berada lebih rendah daripada paras pundi kencing, elakkan tiub terlipat atau tersumbat dan kosongkan beg air kencing secara berkala.

Jangan membuka sambungan kateter tanpa keperluan kerana ini boleh mengakibatkan kemasukan bakteria melalui kateter tersebut. Pantau tanda-tanda jangkitan saluran kencing seperti demam, air kencing yang keruh atau berbau kuat, kehadiran darah dalam air kencing serta perubahan tahap kesedaran.

CEGAH KUDIS TEKANAN

Kejadian kudis tekanan atau bedsore sering berlaku akibat dari tekanan pada bahagian tubuh tertentu serta berterusan sehingga mengganggu aliran darah ke kulit dan tisu di bawahnya. Bahagian tulang yang menonjol seperti pinggul, punggung, tumit, siku, dan belakang kepala adalah titik paling kritikal.

Langkah pencegahan terbaik adalah dengan mengubah kedudukan badan pesakit setiap dua jam. Jika tanda awal seperti kemerahan atau kulit panas diabaikan, luka boleh merebak hingga ke tulang sehingga perlu menjalani prosedur pembedahan membuang tisu mati.

Kurang pergerakan juga boleh mengakibatkan kekakuan sendi. Situasi seperti siku bengkok secara kekal, jari menggenggam rapat, atau tapak kaki menghala ke bawah (foot drop) boleh dihindari melalui senaman sendi berkala seperti yang diajarkan oleh ahli fisioterapi.

Ramai pesakit bergantung kepada saluran tiub pemakanan  yang dipasang melalui hidung ke perut. Semasa memberi susu, kepala katil perlu ditinggikan antara 30 hingga 45 darjah. Kekalkan posisi selama 30 hingga 60 minit selepas selesai pemberian susu bagi mengelakkan susu masuk ke saluran pernafasan.

Pantau penerimaan makanan oleh pesakit. Gejala seperti perut kembung, muntah, atau lambakan baki susu di dalam perut adalah petunjuk awal bahawa sesi pemakanan seterusnya perlu ditangguhkan dan pesakit memerlukan rujukan perubatan segera.

Perjuangan ini tidak berakhir dengan sekadar menyembuhkan strok pertama. Pesakit terdedah kepada risiko tinggi untuk mendapat serangan strok kali kedua. Pematuhan jadual ubat-ubatan, termasuk ubat darah tinggi, kencing manis, kolesterol, dan pencair darah sangat kritikal.

Penjaga memainkan peranan memastikan ubat tidak dihentikan sesuka hati walaupun pesakit nampak semakin sihat. Pesakit juga perlu datang temujanji susulan dan pemeriksaan kesihatan berkala.

SOKONGAN KEPADA PENJAGA

Namun, dalam memastikan kelangsungan hidup pesakit, realiti emosi penjaga tidak seharusnya dipinggirkan. Beban fizikal menjaga pesakit terlantar, ditambah dengan tekanan kewangan yang tinggi, amat memenatkan.

Penjaga berhak mendapatkan rehat yang cukup, meminta bantuan daripada ahli keluarga lain, serta mendapatkan khidmat sokongan profesional tanpa rasa bersalah. Agensi atau persatuan sokongan strok (seperti NASAM, PERKESO, Jabatan Kebajikan Masyarakat) juga boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan moral mahupun panduan fizikal.

Hakikatnya, strok bukan sekadar mematahkan keupayaan seorang pesakit, ia mengubah landskap kehidupan seluruh keluarga. Perjalanan pemulihan dari wad hospital ke katil di rumah mungkin panjang dan meletihkan, namun ia tidak seharusnya dilalui secara bersendirian.

Dengan ilmu, persediaan dan sokongan yang berterusan, pesakit strok terlantar masih mampu mencapai kualiti hidup yang optimum, meskipun berdepan pelbagai keterbatasan fizikal.

Leave a Reply