UKM-KPJUC Perbaharui Kerjasama melalui Memorandum Perjanjian

Oleh Asmahanim Amir
Foto Nurul Asyiqin Mohamad Noor

BANGI, 11 Oktober 2022 – Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperbaharui Memorandum Perjanjian (MoA) dengan KPJ Healthcare University College (KPJUC) bagi meneruskan kerjasama dalam beberapa bidang termasuk pengawasan bersama pemeriksa luar pascasiswazah dan pendanaan penyelidikan fakulti. 

Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata sejak MoA yang pertama ditandatangani, dua orang pelajar Ortopedik & Traumatologi dan seorang pelajar Surgeri Am dari KPJUC telah berjaya menamatkan pengajian.

“Kerjasama UKM – KPJUC ini bakal membantu para pelajar untuk menjadi pemimpin yang lebih bertanggungjawab dan berjaya dalam kerjaya mereka. Oleh itu, saya percaya MoA yang ditandatangani hari ini akan dapat memberi impak positif kepada kedua-dua pihak,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Menandatangani MoA antara UKM dengan KPJUC di sini, hari ini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Fakulti Perubatan UKM kerana sentiasa berusaha mengambil pelbagai inisiatif untuk menjayakan program akademik, projek penyelidikan, dan pengkomersilan produk yang berkaitan.

“Memorandum perjanjian antara UKM dengan KPJUC ini menjadi bukti kesungguhan Fakulti Perubatan dalam menjayakan inisiatif tersebut.

“Sebagai salah sebuah institusi pendidikan terkemuka di Malaysia, UKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai institusi untuk meningkatkan pengalaman dan kemahiran pelajarnya,” katanya.

Sementara itu,  Pegawai Pimpinan KPJ Healthcare Berhad, Puan Norhaizam Mohammad berkata kerjasama KPJUC dengan UKM telah dapat melahirkan pakar-pakar perubatan yang telah berkhidmat di banyak hospital di Malaysia.

“Terima kasih kepada UKM khususnya Fakulti Perubatan yang berterusan menyokong dan memberi kerjasama kepada KPJ Healthcare dalam mengendalikan program-program latihan kepakaran doktor perubatan.

“Program latihan kepakaran dokor perubatan yang dijalankan oleh Graduate School of Medicine ini merupakan program flagship kepada KPJ Healthcare. Selain dari program ini, KPJ Healthcare turut menjalankan program-program lain seperti kejururawatan, farmasi, fisioterapi, pengimejan diagnostik dan lain-lain program,” katanya.

Beliau berkata untuk melaksanakan program latihan kepakaran di hospital swasta seperti KPJ, ia memerlukan pendekatan dan kaedah yang lebih inovatif dan sedikit berbeza dari teknik pengajaran di hospital kerajaan dan hospital universiti.

“Terdapat juga keperluan sebahagian latihan dalam program ini yang dilaksanakan di hospital pengajar universiti atau Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan calon-calon menapat pendedahan klinikal yang berkesan.

“Di sinilah peranan besar yang telah didokong oleh para Profesor dan pakar-pakar di Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz sehingga membolehkan program latihan kepakaran perubatan di hospital swasta seperti KPJ Healthcare Berhad menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata dengan usaha sama antara UKM dengan KPJ Healthcare Berhad, kedua-dua institusi dapat sama-sama memastikan pogram latihan kepakaran yang berkualiti dan melahirkan pakar-pakar perubatan yang berwibawa untuk masyarakat di masa hadapan.

“Program-program ini memberi peluang kepada lebih ramai lagi doktor-doktor muda untuk mendapat tempat bagi meneruskan latihan kepakaran mereka, seterusnya menjadi doktor-doktor pakar di hospital swasta, hospital kerajaan dan juga hospital pengajar,” ujarnya.

Dokumen MoA itu ditandatangangi oleh Prof. Dr. Mohammad Kassim yang mewakili UKM manakala Puan Norhaizam mewakili KPJ Healthcare Berhad. Antara yang turut hadir ialah Naib Canselor dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perubatan KPJ Healthcare University College, Prof Emeratus Dato’ Dr. Lokman Saim, Timbalan Naib Canselor KPJ Healthcare University College, Prof. Mohd Zaher Mohd Zain dan Dekan Fakulti Perubatan UKM, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Ghafor. 

Leave a Reply